SERAMAI 25 orang terbunuh selepas sebuah bas yang melanggar dua trak, terjunam 200 meter ke dalam jurang, kata polis Bolivia semalam.
Difahamkan ketika kejadian, bas itu cuba memotong sebuah trak sebelum ia bertembung dengan sebuah trak lain di utara La Paz, kata ketua polis, Yuri Calderon.
“Ia menyebabkan kenderaan terbabit hilang kawalan dan terbabas sebelum jatuh ke jurang sedalam 200 meter,” kata Calderon.
Ketua peronda lebuh raya, Fernando Rojas, yang dikutip oleh agensi berita Fides, menubah jumlah itu tidak lama kemudian.
“Setakat ini, kami mengeluarkan kira-kira 25 mayat manakala 24 lain yang cedera dihantar ke pelbagai hospital,” kata Ketua Peronda Lebuh Raya, Fernando Rojas.
Bas dikendalikan syarikat Totai itu sedang dalam perjalanan dari utara La Paz, ke bandar Rurrenabaque, di Amazon.
Angka maut insiden terbabit menjadikannya kemalangan bas paling mengerikan tahun ini.
Pada Januari lalu, 22 terkorban selepas dua bas bertembung di laluan antara wilayah selatan Oruro dan Potosi. – AFP, 23 April, 2019.
Komen