SELEPAS berkhidmat melindungi sempadan Malaysia daripada penyusupan asing selama tiga dekad, satu-satunya keinginan Limam Bin Angkalal ialah untuk tinggal berhampiran hospital.
Sebahagian tubuhnya lumpuh akibat diserang strok tiga tahun lalu. Sukar untuk bekas Pengakap Sempadan Sabah berketurunan Murut yang berusia 72 tahun itu untuk berjalan.
Kini, Limam bersama bekas rakan sepasukan dan keluarga mereka sehingga generasi ketiga dan keempat, berjuang untuk pengiktirafan dan dibenarkan tinggal di tanah yang mereka terokai sejak 1989.

Hospital daerah Keningau terletak bersebelahan tanah seluas 45.9 ekar dipanggil Kem PPH (Pasukan Renjer Hutan) di mana pengakap sempadan yang bersara tinggal selepas pasukan mereka dibubarkan pada 1986. Ini termasuk keluarga mereka, dan tanah itu kini rumah untuk kira-kira 600 orang.
Mereka boleh diusir bila-bila masa saja oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), pemegang pajak tanah itu.
Tetapi Limam yang mempunyai 11 anak dan datuk kepada lebih 30 cucu berkata beliau akan tinggal di kem itu selama mungkin.
Kuarters yang didiaminya bersama isteri, Bonong Mantai, 72, dan cucu mereka, seorang pekerja rencam berusia 24 tahun, sudah usang dan lantai kayunya seperti hendak roboh.
“Dua anak lelaki saya kerja di Kuala Lumpur, saya ada seorang anak kerja di Jabatan Perkhidmatan Veterinar, sementara yang lain masih di Sabah,” katanya yang berasal dari Kampung Sumabi, pedalaman Pensiangan.
Tiada tempat lain untuk dituju
Tanah di mana pengakap bersara itu tinggal sebelum ini ialah kem pangkalan renjer hutan tetapi pengakap mengambil alih pada 1989 dengan keizinan PDRM. Pasukan polis mempunyai pajakan 99 tahun daripada kerajaan negeri, dan masih berbaki 30 tahun lagi sebelum tamat tempoh.

Maimul Tabubul, 68, berketurunan Dusun dan Pensiangan berkata kebanyakan daripada mereka hanya “tunggu diusir”.
“Sudah tiga generasi tinggal di sini. Kami memohon untuk mendapatkan tanah ini sejak 2013 dan yang terbaru tahun lalu, dengan surat dihantar kepada setiausaha sulit perdana menteri, tetapi tidak ada jawapan,” kata bekas timbalan presiden Persatuan Pengakap Sempadan Sabah itu.
“Masih ada kira-kira 200 orang di sini. Ada yang sudah meninggal dunia, tetapi balu, anak dan cucu mereka masih terus tinggal di sini kerana mereka tidak ada tempat lain lagi untuk perlu.
“Ketika renjer hutan berpindah keluar pada 1989, kami diarahkan tidak tinggal di rumah pegawai, tetapi hanya boleh duduk di kuarters konstabel, yang keadaannya sudah pun teruk ketika kami pindah masuk. Kami terpaksa guna sumber kami yang terhad untuk baik pulih,” kata Maimul.
The Malaysian Insight difahamkan, pasukan polis mahu menjadikan kawasan itu sebagai kolej latihan polis. Kawasan sekitarnya sudah dipasang pagar dan kelihatan beberapa papan tanda melarang pencerobohan di situ.
Pesara pengakap berkenaan menulis surat dan malah mendapat surat sokongan daripada menteri dan wakil rakyat. Mereka juga mengadakan dialog bersama polis sebanyak dua kali antara 2013 hingga tahun lalu, tetapi semuanya tidak berhasil.
“Respons yang kami terima daripada kerajaan hanya sepucuk surat menyatakan permohonan kami dilanjutkan tetapi untuk berapa lama, kami tidak tahu.
“Kami setia bersama kerajaan selama ini. Tidak pernah melanggar perintah. Hanya ini yang kami minta. Berikan tanah ini pada kami,” kata Maimul.
Melindungi sempadan Malaysia
Pengakap sempadan Sabah ditubuhkan pada September 1963 untuk mematahkan penyusupan masuk tentera Indonesia dan komunis ke negeri itu.
Anggota diambil oleh British dari kampung mereka sepanjang sempadan Sabah-Kalimantan, dan diberikan latihan ketenteraan. Mereka berpangkalan di Keningau, di mana kuarters polis pada masa ini berada.
Tugasan utama pengakap ialah mengumpulkan maklumat risikan, menandakan lokasi musuh dan membuka tempat pendaratan helikopter di hutan sempadan Sabah. Ini bagi membolehkan askar British dan Gurkha yang berpangkalan di Brunei diterbangkan masuk ke Sabah untuk operasi serangan.
Limam berkata sebagai masyarakat orang asli, pengakap tidak mempunyai fizikal untuk berperang tetapi apa yang British perlukan pada masa itu ialah mereka yang kenal hutan Sabah dan kemampuan untuk bertahan dalam keadaan hutan hujan tropika.

Jasa pengakap sempadan dan kisah mereka masih menjadi kebanggaan kebanyakan rakyat Sabah yang percaya mereka boleh bersaing, jika tidak lebih baik sekali pun, dengan kaedah ketenteraan moden.
Kisah-kisah popular termasuk kemampuan mistik dimiliki Aki Garing, seorang pengakap sempadan berketurunan Murut yang dikatakan boleh bertukar dirinya menjadi pelbagai jenis haiwan.
Limam berkata latihan ketenteraan berlangsung selama enam bulan, sebelum dia dihantar berkawal di Kampung Bantul, berhampiran sempadan Kalimantan.
Mereka dibahagikan kepada beberapa platun dengan 30 orang setiap satu dan bergilir meronda sempadan negeri. Katanya, tugasan rondaan biasanya selama dua bulan.
“Kami tidak ditugaskan untuk menyerang, tetapi perlu menyediakan lokasi tepat penyusupan dan laporkan ia kepada pangkalan.”
Maklumat itu kemudian diserahkan kepada pasukan tentera British dan Gurkha di Brunei dan satu pasukan dihantar untuk menyerbu penyusup.
Walaupun kurang dilengkapi senjata moden dan peralatan menjejak, pengakap sempadan berjaya mencegah kemasukan tentera Indonesia daripada menyeberangi Kalimantan ketika Konfrontasi Indonesia-Malaysia (1963-1968).
Maimul pula pakar kod Morse dalam platunnya. Dia ada latihan ketenteraan ketika dihantar ke pos pengawal Sungai Agison dan Sungai Sibuda di Pensiangan.
“Saya diberi bom tangan dan latihan senjata ketika berada di kem, tetapi tugas utama saya termasuk membawa peralatan komunikasi yang berat dipanggil HF 156,” katanya, menambah kadangkala ia seberat 40kg, selain membawa senapang M4 Carbine ketika meronda.
Bapa kepada enam anak itu menyertai pengakap sempada pada 1966 dan bersara pada 2004. Walaupun pengakap dibubarkan pada 1986, mereka diserapkan ke dalam pasukan polis dengan pangkat konstable dan terbabit dalam operasi Renjer Hutan Batalion 16.
Antara tugasan mereka sebagai sebahagian pasukan polis ialah menjaga sempadan pantai timur Sabah daripada penyusupan Filipina.
“Kami terbabit dalam hampir semua operasi daripada Ops Lanun, Ops Duyung dan Ops Tayang di seluruh negeri dan berjaya menggagalkan penyeludupan senjata ke Sabah di Kampung Bantul pada 1980, selain di selatan Filipina kemudiannya.”
Beri kami tanah ini
Maimul berkata pasukan polis faham dan tidak pernah mengganggu mereka dan keluarga.
Tetapi, masa depan mereka yang tidak jelas di situ menyebabkan dia bimbang di mana ahli keluarga bekas pengakap sempadan akan tinggal nanti.

Menambah beban mereka yang tidak ada tempat lain lagi untuk dituju, kos hidup hari ini amat tinggi menyebabkan terpaksa berkongsi pencen RM1,000 yang diterima dengan ahli keluarga.
Maimul berkata gaji sebagai pengakap dulu hanya RM150 sebulan tetapi barangan makanan tidak mahal.
“Hari ini, susah untuk kami walaupun kami ada pencen.
“Kami dimaklumkan keputusan mengenai tanah ini akan dibuat oleh orang atasan. Tetapi berapa lama lagi perlu kami tunggu?
“Berikanlah tanah ini pada kami,” katanya. – 17 September, 2017.
Komen