MAYAT tiga pendaki profesional terkemuka dunia – dua warga Austria dan seorang Amerika Syarikat (AS) – ditemui pada Ahad selepas mereka hilang ketika runtuhan salji di barat puncak Kanada, kata pihak berkuasa taman negara itu.
Warga AS Jess Roskelley, 36, bersama Hansjorg Auer, 35, dan David Lama, 28, hilang pada Selasa di Taman Negara Banff. Pihak berkuasa kemudian melancarkan pencarian dari udara keesokan harinya.
Tiga lelaki itu dalam cubaan mendaki bahagian timur Howse Pass, satu laluan terpencil dan sangat sukar untuk didaki.
Mereka sebahagian daripada pasukan atlet berpengalaman ditaja oleh syarikat peralatan aktiviti lasak AS, The North Face.
“Taman negara Kanada mengucapkan takziah kepada keluarga mereka, rakan dan orang tersayang,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.
Jess ialah anak lelaki John Roskelley, yang juga dianggap sebagai antara pendaki terbaik dunia bagi generasinya.
Kedua-dua anak dan bapa itu mendaki Gunung Everest bersama-sama pada 2003. Pada masa itu, Jess baru berusia 20 tahun dan menjadi pendaki termuda mendaki puncak gunung tertinggi dunia itu.
Auer dan Lama, dari Tyrol, Austria juga dianggap pendaki terbaik pada masa ini. – AFP, 23 April, 2019.
Komen