SEPULUH orang terbunuh dan lebih 30 cedera apabila seorang anggota polis merempuh keretanya ke arah sekumpulan kanak-kanak ketika sambutan Easter di timur laut Nigeria, sebelum terbunuh akibat kemarahan orang ramai.
Saksi di tempat kejadian berkata insiden di Gombe itu berlaku lewat Ahad, dilakukan oleh anggota polis yang sedang tidak bertugas, kata jurucakap polis Mary Mallum.
“Sepuluh terbunuh termasuk anggota polis itu dan ahli para tentera yang bersamanya,” kata Mallum.
“Kami difahamkan anggota polis itu dan rakannya yang berpakaian biasa diserang dan terbunuh oleh orang ramai yang marah.
“Selebihnya, 30 kanak-kanak cedera dan pada masa ini dirawat di hospital sementara siasatan dilakukan.”
Menurut saksi, pemandu terbabit sengaja memandu keretanya ke arah orang ramai selepas acara Easter itu menghalang laluan.
“Pemandu kereta itu bergaduh dengan kanak-kanak di situ sebelum memberi laluan kepadanya, tetapi dia kemudian berpusing balik dan memandu ke arah mereka,” kata Isaac Kwadang.
“Dia sengaja buat begitu.”
Acara keagamaan perkara biasa dilakukan oleh penganut Kristian dan umat Islam ketika sambutan perayaan masing-masing di Nigeria di mana beberapa jalan akan ditutup, menyebabkan kekecohan lalu lintas.
Pada Disember 2016, sekurang-kurangnya 13 kanak-kanak Islam terbunuh apabila sebuah bas terbabas dan merempuh program sambutan Maulidur Rasul di kampung Malam Side, 20km dari Gombe. – AFP, 23 April, 2019.
Komen