Pemimpin Korea Utara, presiden Rusia bakal adakan pertemuan


Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un akan melawat Rusia bagi mengadakan pertemuan kali pertama Presiden Vladimir Putin. – Gambar EPA, 23 April, 2019.

PEMIMPIN Korea Utara Kim Jong Un akan melawat Rusia tidak lama lagi bagi sidang kemuncak pertama dengan Presiden Vladimir Putin, lapor media rasmi negara itu, mengesahkan pengumuman Kremlin.

Kim akan melawat Persekutuan Rusia atas jemputan Putin, kata agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA.

“Mereka akan mengadakan rundingan ketika lawatan itu,” katanya.

KCNA tidak memberi butiran di mana atau bila kedua-dua pemimpin itu akan bertemu.

Rusia minggu lalu berkata mereka akan bertemu di Rusia pada pertengahan April tetapi tidak memberikan maklumat lanjut.

Mereka dijangka bertemu di timur Rusia, di pelabuhan Vladivostok, mungkin pada Rabu atau Khamis.

Ia akan menjadi sidang kemuncak pertama antara pemimpin Korea Utara dan Rusia sejak Kim Jong Il – bapa Jong Un – yang pernah bertemu Dmitry Medvedev lapan tahun lalu.

Rusia mempunyai hubungan agak baik dengan Pyongyang dan memberikan bantuan makanan, dan Putin sekian lama menyatakan kesediaan untuk bertemu pemimpin rejim itu.

Pertemuan itu berlangsung kurang dua bulan selepas rundingan di Hanoi antara Kim dan Presiden AS Donald Trump – pada sidang kemuncak kedua mereka yang berlangsung tanpa perjanjian dicapai berhubung senjata nuklear Korea Utara.

Kim bertemu Presiden China Xi Jinping sebanyak empat kali tahun lalu tetapi kini melihat kepada sokongan antarabangsa yang lebih luas, kata penganalisis. – AFP, 23 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen