SELEPAS lelah menggunakan semua cara untuk mengesan anak perempuannya, M Indira Gandhi kini meminta bantuan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) untuk mengadakan siasatan awam bagi mencari jawapan di mana anaknya berada.
Beliau berharap Suhakam dapat membantunya, kerana pihak berkuasa masih tidak tahu apa yang berlaku terhadap Prasana Diksa, 11, yang dibawa lari oleh bekas suaminya, sembilan tahun lalu.
Indira berkata beliau bertemu dengan suruhanjaya itu pada Jumaat lalu dengan harapan mereka dapat membantunya.
“Kami tidak dapat mencari Prasana dan kami tidak tahu pun jika dia termasuk dalam kes orang hilang.
“Kami berjumpa dengan Suhakam dan mereka bersetuju untuk mengkaji perkara itu.
“Kami harap mereka dapat melihatnya sebagai kes kanak-kanak hilang dan pelanggaran hak asasi manusia di bahagian pihak berkuasa,” katanya.
Selepas memenangi pertarungan undang-undang selama 10 tahun, polis mengarahkan untuk mencari bekas suaminya, K. Pathmanathan @ Muhammad Riduan Abdullah, dan Prasana.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata walaupun kenyataan media sudah dikeluarkan dan menggesa bantuan orang ramai untuk mengesan Riduan, pihak berkuasa masih tidak dapat mencarinya.
Beliau berkata polis mencari Riduan sejak waran dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada 20 Mei, 2014.

Indira berkata beliau bertemu dengan Ketua Polis Negara Mohd Fuzi Harun dan dijanjikan untuk menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi mengesan Prasana.
“Beliau bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas serta-merta.
“Kami saling bertukar maklumat dan berharap lebih banyak komunikasi dan usaha mereka untuk mencari Prasana,” katanya.
Arun Dorasamy daripada Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) yang turut hadir pada pertemuan dengan Suhakam sudah membuat aduan pelanggaran hak asasi manusia terhadap polis dan kerajaan.
Arun mendakwa laporan itu kerana keengganan polis bertindak terhadap perintah mahkamah yang menyebabkan Prasana masih hilang.
Bagi kerajaan pula, katanya ia kerana kegagalan mereka untuk melindungi hak Indira seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan bagi perlindungan sama rata di bawah undang-undang dan untuk melindungi hak Prasana daripada pertukaran agama secara sebelah pihak.
Pada Januari tahun lalu, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan penting membatalkan pertukaran agama kanak-kanak Indira kepada Islam oleh bekas suaminya, dan turut mengisytiharkan pertukaran agama sebelah pihak oleh mana-mana ibu atau bapa tidak sah.
Susulan keputusan Mahkamah Persekutuan itu, ketua polis negara meminta bantuan orang awam memberikan maklumat untuk mencari Riduan dan Prasana. – 23 April, 2019.
Komen