BN tidak bertanding di Sandakan, kata Mat Hasan


Diyana Ibrahim

Barisan Nasional sebaliknya akan memberi laluan kepada parti tempatan di Sabah untuk bertanding, kata pemangku pengerusi parti, Mohamad Hasan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 22 April, 2019.

BARISAN Nasional (BN) tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil PRK Sandakan yang akan diadakan pada 11 Mei ini, kata pemangku pengerusi parti Mohamad Hasan.

BN sebaliknya akan memberi laluan kepada parti tempatan di Sabah untuk bertanding, tambah beliau

“Kita telah berbincang panjang lebar memutuskan BN tidak akan meletakkan calonnya memandangkan kerusi Sandakan selama ini diwakili BN dari parti tempatan.

“Jadi kita masih tidak bersedia nak letak calon,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Kuala Lumpur, malam tadi.

Kerusi Parlimen Sandakan secara tradisinya ditandingi oleh Parti Liberal Demokratik (LDP). Calon parti itu bagaimanapun kalah kepada DAP pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)setahun yang lalu, manakala parti itu keluar BN dua hari kemudian pada 11 Mei 2018.

Mohamad bagaimanapun berkata BN tidak ada kuasa untuk menghalang mana-mana ahli parti yang mahu bertanding sebagai calon bebas, tetapi mereka nanti bakal berdepan tindakan disiplin parti termasuk gugur sebagai ahli serta merta.

Ditanya parti mana yang akan disokong oleh BN, Mohamad berkata pihaknya akan melihat perkembangan pada hari penamaan calon sebelum memutuskan sokongan kepada calon parti yang mesra kepada gabungan itu.

Dalam pada itu, Mohamad menolak pandangan bahawa keputusan BN tidak meletakkan calon akan memberi kemenangan mudah kepada Pakatan Harapan.

Mohamad membuat pengumuman itu selepas Umno petang tadi mengumumkan tidak akan meletakkan calonnya bertanding di Sandakan, sama seperti PAS yang membuat pengumuman minggu lalu.

Sejak kawasan Parlimen Sandakan diperkenalkan dalam peta pilihan raya Malaysia pada 1966, Umno dan PAS bagaimanapun tidak pernah menurunkan calon mereka di kawasan itu.

Sementara itu, DAP dijangka mengumumkan calonnya, Khamis ini, kata Timbalan Pengerusi DAP Sabah Frankie Poon Ming Fung.

Pengumuman itu akan dibuat Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di Sandakan dalam satu majlis yang akan disertai Presiden Parti Warisan Sabah Shafie Apdal yang juga ketua menteri Sabah.

PRK Sandakan diadakan selepas penyandangnya Stephen Wong Tien Fatt, 65, yang juga menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah merangkap pengerusi DAP negeri, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

DAP Sabah sebelum ini dilapor mengesahkan anak mendiang, Vivian Wong, 30, antara nama yang dipertimbangkan sebagai calon.

Pada PRU14, Wong mempertahankan kerusi Parlimen itu selepas menewaskan calon BN, Lim Ming Hoo.

Beliau merampas kerusi itu daripada LDP pada PRU13 dengan mengalahkan bekas presiden parti itu, Liew Vui Keong, yang kini menyertai Parti Warisan Sabah. – 22 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen