Thailand kutuk insiden letupan di Sri Lanka


Insiden letupan yang berlaku di beberapa buah gereja dan hotel di Sri Lanka semasa sambutan Easter, semalam meragut sekurang-kurangnya 290 nyawa dan mencederakan lebih 500 orang. – Gambar EPA, 22 April, 2019.

PERDANA Menteri Thailand, Jen Prayut Chan-o-Cha, merakamkan ucapan takziah dan mengutuk insiden letupan yang berlaku di beberapa buah gereja dan hotel di Sri Lanka semasa sambutan Easter, semalam.

Dalam perutusan takziah kepada Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe, Prayuth melahirkan ucapan takziah yang mendalam bagi pihak kerajaan Thailand kepada mangsa dan keluarga yang terlibat dalam letupan itu yang meragut sekurang-kurangnya 290 nyawa dan mencederakan lebih 500 orang.

“Saya amat terkejut dan berdukacita apabila menerima berita mengenai letupan dahsyat yang berlaku di Sri Lanka.

“Ingatan dan doa saya adalah bersama keluaerga mangsa-mangsa yang bersedih semasa saat-saat yang sukar ini dan saya berharap semoga mereka yang cedera segera sembuh.

“Di saat-saat berdukacita ini,  Kerajaan Diraja Thailand berdiri teguh bersama Kerajaan Sri Lanka dan rakyatnya dan bersama-sama dengan masyarakat antarabangsa mengutuk sekeras-kerasnya  tindakan keganasan ini terhadap mereka yang tidak bersalah,” katanya.  

Sementara itu, Menteri Luar Thailand Don Pramudwinai berkata, Thailand menyertai komuniti antarabangsa mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan ini.

“Kami berdiri teguh bersama kerajaan Sri Lanka dan rakyatnya ketika saat-saat yang sukar ini,” kata beliau dalam perutusan takziah kepada Menteri Luar Sri Lanka, Tilak Marapana. 

Beliau juga merakamkan simpati dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan mereka yang cedera dalam insiden letupan yang dahsyat ini. – Bernama, 22 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen