SINGAPURA hari ini mengeluarkan nasihat perjalanan dengan menasihatkan rakyatnya supaya menangguhkan perjalanan yang tidak perlu ke Sri Lanka susulan beberapa kejadian letupan yang mengorbankan hampir 300 orang di seluruh negara pulau itu.
“Berikutan beberapa siri letupan bom di Sri Lanka semalam, negara itu telah diletakan dalam keadaan berjaga-jaga tahap tertinggi. Beberapa kerajaan asing juga telah memberi amaran kepada warganya bahawa mungkin ada lagi serangan.
“Memandangkan keadaan keselamatan semasa di sana, warga Singapura dinasihatkan untuk menangguhkan segala perjalanan yang tidak perlu ke Sri Lanka,” kata kenyataan Kementerian Hal Ehwal Luar republik itu.
Siri letupan menggegarkan beberapa lokasi terutama Gereja Kochikade, Gereja Katuwapitiya, Shangri-La Hotel, Cinnamon Grand Hotel dan gereja St Barnabas di Batticaloa, Colombo pada jam 8.30 pagi waktu tempatan pada Ahad.
Perintah berkurung di seluruh negara diisytiharkan dari 8 malam pada Isnin hingga 4 pagi Selasa. – AFP, 22 April, 2019.
Komen