DAP hormat keputusan Johor gugurkan exco


Sheridan Mahavera

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, parti itu menghormati keputusan Johor menukar salah seorang wakilnya dalam majlis eksekutif negeri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 22 April, 2019.

DAP menghormati keputusan Johor menggugurkan seorang wakilnya dalam majlis eksekutif negeri, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“Ini bukan keputusan DAP tetapi kami menerima keputusan dibuat oleh Johor,” katanya.

Lim berkata demikian bagi mengulas keputusan Johor menggugurkan Tan Hong Pin dari kabinet negeri selepas Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal dilantik.

Lim yang juga menteri kewangan enggan mengulas lanjut mengapa Tan digugurkan dan sama ada parti itu akan membangkang keputusan itu.

“Itu jawapan saya dan saya tidak perlu menambah apa-apa,” katanya ketika didesak sama ada parti itu cuba mempertahankan Tan atau merayu agar keputusan itu ditarik semula. 

Sahruddin dilaporkan merombak barisan exco itu sebagai syarat pelantikannya yang dibuat oleh Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Tan yang juga Adun Skudai digugurkan dari barisan itu apabila Sahruddin mengumumkan barisan ahli exco baharu hari ini.

Beliau sebelum ini memegang portfolio Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi.

Turut digugurkan ialah Mazlan Bujang yang memegang portfolio Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan.

Tan yang juga Adun Skudai digugurkan dari barisan itu apabila Sahruddin mengumumkan barisan ahli exco baharu hari ini.

Beliau sebelum ini memegang portfolio Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi.

Turut digugurkan ialah Mazlan Bujang yang memegang portfolio Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan.

DAP diberi empat kerusi dalam 10 barisan exco. Tempat Tan diambil oleh Adun Jementah, Tan Chen Choon. Tiga wakil DAP lain, Liow Chai Tung, Dr Ramakrishnan Suppiah dan Sheikh Umar Baghrarib Ali dikekalkan.

Bersatu mempunyai dua tempat kosong dalam barisan itu selepas Sahruddin yang juga exco dilantik menjadi Menteri besar dan selepas Mazlan digugurkan.

Tempat ini diisi oleh Mohd Izhar Ahmad dan Mohd Solihan Badri masing-masing mewakili Larkin dan Tenang.

Pada satu majlis sebelum ini, Dr Mahathir memberitahu pemberita bahawa istana Johor tidak mempengaruhi pemilihan exco baharu itu. – 22 April, 2019.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen