KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan berjaya menjimatkan dana awam sebanyak RM481 juta hasil daripada semakan semula kira- kira 97 urus niaga tanah meragukan yang diluluskan ketika pentadbiran lalu.
Menterinya Khalid Abdul Samad berkata penjimatan tersebut disifatkan antara kejayaan yang dicapai kementeriannya dalam tempoh hampir satu tahun pemerintahan Pakatan Harapan (PH).
“Antara langkah awal yang dilakukan apabila menjadi kerajaan apabila mengkaji semula 97 urus niaga transaksi tanah.
“Kita juga telah tubuhkan jawatankuasa khas bagi menyemak semula urus niaga ini di peringkat kementerian,” katanya dalam satu sidang media khas di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata daripada 97 transaksi tanah itu, 43 didapati tidak masalah, 14 telah dibatalkan, 15 dirunding semula dan lima melibatkan penyelesaian luar mahkamah. Manakala 20 lagi dalam siasatan jawatankuasa khas kementerian.
“Daripada 15 transaksi dirunding semula kita dapat tambah pendapatan DBKL sebanyak 149 juta dan RM6 juta dalam bentuk komitmen CSR.
“Transaksi yang dibatalkan kebanyakan di peringkat awal yang mereka bayar 10 peratus pendahaluan, kita batal dan bayar kembali 10 peratus itu kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata dengan pembatalan 14 urus niaga tersebut DBKL telah memperolehi semula 53 ekar tanah bernilai RM47 juta.
“Penjimatan yang kita dapat sebanyak RM160 juta jika asal nilai tanah yang mahu dijual hanya RM310 juta.
“Kita berjaya untuk laksanakan potensi penjimatan dan kurangkan kerugian daripada rundingan ini.”
Selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, PH membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya siasatan dijalankan terhadap penjualan 64 lot tanah yang dibuat DBKL pada 2014 hingga 2018.
November lalu bekas menteri Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya Tengku Adnan Tengku Mansor, ditahan oleh SPRM.
Beliau didakwa berhubung siasatan termasuk 97 transaksi meragukan membabitkan penjualan tanah DBKL seluas lebih 273.27 hektar bernilai RM5.63 bilion.
Khalid berkata antara kejayaan besar lain yang dicapai kementeriannya dalam setahun pentadbiran adalah mewujudkan Majlis Menteri yang diwakili 11 ahli Parlimen PH.
Beliau berkata Majlis Menteri hampir mendekati konsep pilihan raya kerajaan tempatan.
“Di peringkat DBKl 11 ahli Parlimen akan duduk bersama tentukan dasar dan polisi untuk pembanguan Kuala Lumpur.”
Beliau berkata ia adalah pembaharuan dalam kementeriannya tidak pernah dilakukan oleh kerajaan terdahulu.
Pada masa sama beliau mempertahankan keputusan melantik hanya ahli Parlimen PH dalam majlis itu yang ditubuhkan pada tahun lepas.
Katanya, ia kerana kawasan Parlimen bagi Wilayah Persekutuan dimenangi oleh PH.
“Sebab kawasan Parlimen banyak dimenangi ahli Parlimen PH, yang ada pembangkang cuma Putrajaya, saya rasa itu tidak perlu lah.” – 22 April, 2019.
Komen