Spicejet India meterai perjanjian kod penerbangan dengan Emirates


Syarikat penerbangan keempat terbesar di India, SpiceJet memeterai perjanjian perkongsian kod timbal balik dengan syarikat penerbangan keempat terbesar di dunia, Emirates. – Gambar EPA, 22 April, 2019.

SYARIKAT penerbangan keempat terbesar di India, SpiceJet memeterai perjanjian perkongsian kod timbal balik dengan syarikat penerbangan keempat terbesar di dunia, Emirates,  lapor agensi berita Xinhua.

Perjanjian itu akan membuka laluan dan destinasi baharu bagi penumpang India ke destinasi popular di Amerika, Eropah, Afrika dan Timur Tengah, memetik kenyataan SpiceJet pada Isnin.

Di bawah kesepakatan itu, penumpang SpiceJet yang melancong dari bandar-bandar di India boleh mengakses rangkaian yang lebih luas dikendalikan Emirates di seluruh dunia.

Penumpang SpiceJet kini mempunyai lebih banyak pilihan untuk memilih waktu transit  yang lebih minimum apabila terbang ke destinasi  rangkaian Emirates di Eropah seperti London, Paris, Frankfurt, Manchester dan Amsterdam.

Tertakluk kepada kelulusan pengawalseliaan, perjanjian persetujuan kod itu juga akan menyediakan pelancong India pilihan lebih banyak untuk ke destinasi di utara dan selatan Amerika seperti New York, Washington, Toronto dan Sao Paulo serta Timur Tengah seperti Jeddah, Kuwait dan Amman. 

Jelas kenyataan itu lagi, jadual yang optimum membolehkan waktu transit minimum di antara India dan destinasi manakala pelancong untuk laluan perkongsian kod ini dapat menempah penerbangan sambung menggunakan tempahan tunggal. 

SpiceJet mengendalikan purata 516 penerbangan harian ke 60 destinasi termasuk 51 domestik dan sembilan antarabangsa. 

Syarikat penerbangan itu mempunyai 48 Boeing 737, 27 Bombardier Q-400 dan sebuah pengangkut B737. – Bernama, 22 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen