Hapuskan kuota kemasukan universiti, kata persatuan akademik


Ragananthini Vethasalam

Gerak berkata kerajaan perlu menghapuskan kemasukan ke universiti berasaskan kaum dan mempertahankan meritokrasi dalam sistem pendidikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2019.

SEBUAH persatuan akademik, Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) mahu kerajaan menghapuskan kemasukan ke universiti berasaskan kaum dan mempertahankan meritokrasi dalam sistem pendidikan.

Setiausaha agungnya Rosli Mahat berkata sistem kuota untuk kemasukan ke universiti sudah tidak lagi diperlukan.

“Ada tempat yang cukup di universiti. Kami menyeru agar kemasukan didasarkan sepenuhnya atas merit,” katanya pada sidang media bersama Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) hari ini.

Kemasukan ke pusat matrikulasi tahun ini jadi isu apabila beberapa pemimpin kaum India dari DAP, MIC dan Gerakan mendakwa ada pelajar cemerlang kaum India tidak mendapat tawaran ke pusat matrikulasi.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan kemudian menjelaskan tawaran 2,200 tempat kepada pelajar India dan 1,000 tempat kepada pelajar Cina dalam program matrikulasi tahun lalu adalah inisiatif hanya sekali atau one off.

Ia ditawarkan pada masa itu berdasarkan keperluan semasa dan melibatkan kekosongan kuota Bumiputera yang tidak diisi, kata kementerian.

Kementerian Pendidikan juga memaklumkan dasar pengambilan program matrikulasi kekal 90% untuk Bumiputera dan 10% untuk bukan Bumiputera berdasarkan meritokrasi.

Susulan kenyataan itu, pemimpin Pemuda DAP Leong Yu Sheng membuat desakan agar sistem kuota bagi kemasukan ke pusat matrikulasi dihapuskan.

Rosli berkata fokus sekarang sepatutnya melibatkan soal sistem kemasukan berdasarkan keperluan, dan tidak terhad pada usaha menyediakan peluang pendidikan tinggi yang sama rata untuk semua.

Sistem ikut keperluan itu pula tidak harus terikat hanya pada aspek pendapatan dan latar belakang sosioekonomi keluarga calon tetapi juga melibatkan soal “kumpulan yang tertinggal”, misalnya mereka yang pertama dalam keluarga yang boleh ke universiti.

“Dalam sukan kita selalu memilih yang terbaik berasaskan merit. Kita tidak pernah pilih mereka yang mewakili kita ke Olimpik berasaskan kaum. Sama juga dengan perubatan… kita tidak ke hospital dan kata hanya hendak doktor Melayu atau doktor Cina… kita kata kita mahu doktor pakar, doktor yang terbaik.

“Begitu juga dalam pendidikan. Kita mahu guru atau pensyarah terbaik. Itu sebabnya kami (juga) menekankan soal merit dalam pelantikan pensyarah,” katanya.

Gerak juga menggesa universiti untuk tidak lagi menggunakan sistem kemasukan berpusat sebaliknya diberikan autonomi menguruskan kemasukan pelajarnya sendiri.

Beliau menggesa pejabat kepelbagaian dan penyertaan ditubuhkan bagi tujuan itu.

“Oleh sebab kita ada lebih 100 universiti dan kolej universiti, tidak perlu lagi untuk pusat kemasukan universiti bersepadu.

“Setiap universiti seharusnya dibenarkan untuk menilai permohonan ke universiti mereka dan memutuskan siapa yang layak,” katanya. – 22 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen