Patriot pertahan polis terbabit insiden PRK Rantau


Ragananthini Vethasalam

Dua anggota polis berdepan tindakan disiplin susulan membenarkan kereta peronda mereka diperiksa oleh pekerja parti PH pada PRK Rantau. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2019.

PERSATUAN Patriot Kebangsaan (Patriot) akan menyediakan nasihat guaman kepada anggota polis yang berdepan tindakan dalaman kerana membenarkan kereta peronda mereka diperiksa oleh pekerja parti Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau.

Timbalan Presiden Patriot Mahamud Ahmad berkata keputusan itu dibuat selepas dilaporkan bahawa tindakan disiplin akan dikenakan terhadap dua anggota polis berkenaan.

“Kami akan berikan nasihat guaman kepada anggota berkenaan,” katanya kepada wartawan pada sidang media hari ini.

Ketua Polis Negara Fuzi Harun dipetik oleh Sinar Harian sebagai berkata tindakan disiplin akan diambil terhadap anggota polis yang mengalah pada desakan pekerja parti untuk memeriksa kereta peronda.

Fuzi berkata tindakan dalaman diambil berdasarkan kepada prosedur Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard.

Sementara itu, Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji berkata polis sepatutnya mengadakan siasatan menyeluruh berhubung insiden itu sebelum membuat pengumuman tindakan selanjutnya terhadap anggota polis yang terbabit.

“Tidak perlu buat pengumuman pada media dan membesar-besarkannya.

“Kami berpandangan ia bukan langkah bijak untuk polis membuat kenyataan tindakan disiplin akan diambil terhadap anggota polis peronda itu,” katanya.

Beliau berkata polis perlu memenuhi permintaan pekerja parti untuk mengelak kekecohan dan menyebabkan kenderaan itu rosak.

Arshad berkata polis perlu memberi keutamaan menaikkan semula semangat dan moral anggotanya yang terjejas akibat insiden itu supaya mereka dapat menjalankan tugas tanpa bimbang.

Lima ahli PKR ditahan kerana didakwa menahan dan memeriksa sebuah kereta peronda polis ketika PRK Rantau. – 22 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen