PM Sri Lanka akui terima amaran berkaitan serangan


Polis berkawal susulan serangan letupan di beberapa gereja dan hotel di Sri Lanka semalam. – Gambar AFP, 22 April, 2019.

PERDANA Menteri Sri Lanka Ranil Wickremesinghe semalam berkata terdapat amaran sebelum ini berkaitan beberapa siri letupan yang menyasarkan gereja dan hotel di Sri Lanka, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik akhbar Sunday Times.

Bercakap kepada pemberita di ibu kota Colombo, Wickremesinghe berkata sebab mengapa perkara itu tidak diambil tindakan akan disiasat.

Beliau berkata Sri Lanka menghargai bantuan negara lain berhubung kemungkinan terdapat kaitan luar negeri pelaku tindakan pengganas itu.

Wickremesinghe berkata mereka mendapat tahu pelaku semuanya adalah rakyat Sri Lanka dan lapan suspek ditahan berkaitan serangan itu.

Sementara itu, sebutir bom buatan sendiri dijumpai berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranayake di Colombo.

“Sebatang paip PVC sepanjang dua meter yang mengandungi bahan letupan ditemui,” kata jurucakap Tentera Udara Gihan Seneviratne.

Bom itu ditemui semasa rondaan rutin dan dimatikan serta-merta, katanya.

Menurut akhbar rasmi Sri Lanka, Daily News, sejumlah lapan letupan – enam daripadanya meletus pada Ahad pagi manakala dua lagi pada sebelah petang hari sama – dilaporkan di dalam dan di pinggir ibu kota Colombo.

Pada sebelah pagi, gereja di bandar-bandar Kochchikade, Negombo dan Batticaloa serta hotel-hotel Kingsbury, Cinnamon Grand dan Shangri La di Colombo menjadi sasaran.

Susulan letupan itu, pasukan khas polis dikerah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranayake di Colombo untuk menghalang sebarang kemungkinan serangan di sana.

Sejumlah 1.5 juta penganut Kristian, majoritinya adalah Katolik, dianggar tinggal di negara itu yang merupakan 7% daripada jumlah keseluruhan penduduk. – Bernama, 22 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen