KETUA Majlis Peralihan Tentera Sudan (MTC) Abdel Fattah Burhan pada Ahad mengesahkan bahawa presiden Omar al-Bashir dan beberapa tokoh terkemuka rejim beliau kini meringkuk dalam penjara, lapor agensi berita Turki Anadolu.
“Semua tokoh terkemuka bekas rejim, termasuk al-Bashir dan para komander kini semuanya meringkuk dalam penjara selain harta mereka dirampas,” kata Burhan dalam satu temu bual dengan stesen penyiar rasmi Sudan.
Burhan juga berkata wang tunai sebanyak AS$350,000; €7 juta (AS$7.8 juta) dan beberapa bilion paun Sudan telah ditemui di kediaman al-Bashir.
Beliau berkata tiada tahanan politik di negara itu serta tokoh kanan dalam perkhidmatan keselamatan dan perisikan telah dibersarakan selepas disiasat.
MTC akan menyoal siasat sesiapa yang melakukan jenayah semasa demonstrasi baru-baru ini, katanya.
Mengulas tuntutan parti politik agar kuasa diserahkan kepada kerajaan orang awam, beliau berjanji akan mempercepat “peralihan kuasa kepada orang awam.”
Burhan berkata “Kami bukan melakukan kudeta sebaliknya satu revolusi popular dan kami tidak berhasrat untuk terus berkuasa.”
Burhan berkata beliau lebih suka jika sebuah kerajaan teknokrat dibentuk tidak lama lagi.
“Penstrukturan semula negara akan mengambil masa yang lama kerana isu rasuah dalam institusi negara,” katanya.
Tentera Sudan telah menggulingkan Presiden Omar al-Bashir, yang telah memerintah negara itu sejak 1989 susulan tunjuk perasaan popular yang berlangsung selama berbulan-bulan bagi menentang pemerintahannya.
Komen