Pembangkang Sudan boikot rundingan majlis tentera


Pakatan Perubahan dan Kebebasan Sudan umum boikot perundingan dengan majlis tentera berhubung peralihan kuasa. – Gambar EPA, 22 April, 2019.

PEMBANGKANG Sudan iaitu Pakatan Perubahan dan Kebebasan mengumumkan ia memboikot perundingan dengan majlis tentera berhubung peralihan kuasa kepada pihak berkuasa awam daripada pihak tentera yang menggulingkan bekas presiden Omer Al-Bashir, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Pengerusi Persatuan Profesional Sudan (SPA) Mohamed Al-Amin Abdul Aziz berkata rundingan antara kedua-dua pihak menemui jalan buntu.

Berucap pada satu perhimpunan politik di Sudan, Abdul Aziz mendakwa Majlis Tentera enggan menyerahkan kuasa kepada orang awam.

“Sehingga hari ini kami menentang rejim tentera, kami tidak mengiktiraf rejim ini dan kami akan berdepan dengan mereka kerana kami menganggap mereka sebagai kudeta tentera yang mewakili rejim lama,” katanya.

Terdahulu, pengerusi majlis tentera Abdul Fatah Alburhan berikrar akan menyerahkan kuasa kepada orang awam namun meminta parti politik menyerahkan satu cadangan jelas untuk peralihan yang lancar. – Bernama, 22 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen