ISTANA Johor tidak mempengaruhi barisan baru ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri itu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Sultan tidak pengaruhi (pemilihan exco),” katanya ringkas selepas merasmikan Konvensyen Orang Asli di Putrajaya, pagi ini.
“Saya kira itu keputusan Pakatan Harapan Johor,” tambahnya.
Perdana menteri ditanya sama ada pihak istana mempengaruhi keputusan PH menggugurkan dua exco Johor, Mazlan Bujang dan Tan Hong Pin.
Tiga exco baru dilantik iaitu Tosrin Jarvanthi (Bersatu-Bukit Permai), Mohd Solihan Badri (Bersatu-Tenang) dan Tan Chen Choon (DAP-Jementah).
Barisan exco baru di bawah Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pagi ini di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.
Pada majlis sama, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) kepada Dr Sahruddin.

.jpg)
Dr Mahathir, yang berhenti terbatuk tiga kali sepanjang 20 minit ucapannya, turut menjawab satu lagi soalan sebelum meninggalkan konvensyen.
Beliau ditanya tentang komen pemimpin DAP yang mahu kuota matrikulasi dihapuskan.
“Kita akan kaji masalah itu,” kata perdana menteri.
Pemimpin Pemuda DAP Leong Yu Sheng membuat desakan itu selepas Ketua Penerangan Bersatu Dr Radzi Jidin menyokong dasar kerajaan mengekalkan kuota matrikulasi 90% untuk Bumiputera dan 10% untuk bukan Bumiputera. – 22 April, 2019.

Komen