LANGKAH kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melabur sebanyak AS$3 bilion kepada AS$4 bilion dalam membangunkan semula infrastruktur di Amerika Syarikat bukan keputusan politik tetapi dibuat jawatankuasa pelaburan, kata Perdana Menteri Najib Razak.
“Keputusan itu bukan dibuat oleh ahli politik tetapi jawatankuasa yang berjaya memberikan pulangan dividen kepada pencarum KWSP,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia di Kota Kinabalu, hari ini.
Menjawab kritikan pembangkang, Najib berkata KWSP yang sudah membiayai pelaburan berjumlah RM760 bilion pada masa ini, tidak boleh hanya melabur dalam syarikat berkaitan kerajaan.
“Sebab inilah kita pelbagaikan risiko pelaburan KWSP dengan melabur di AS, sebagaimana yang dilakukan dana itu di 39 negara lain,” katanya.
Mengenai pembelian 16 pesawat baharu Boeing oleh Malaysia Airlines berjumlah AS$10 bilion, beliau berkata perjanjian itu mempunyai “proposisi nilai” untuk menggantikan pesawat lamanya.
“Kini MAS memerlukan pesawat moden dan canggih untuk pelanggannya dan memberikan khidmat lebih baik kepada pelancong.
“Ianya penting untuk kita menerbangkan pelancong ke tempat seperti Sabah yang merupakan rahmat kepada pelancong,” kata Najib dan menambah pesawat sedia ada sentiasa perlu dibaiki. – 16 September, 2017.
Komen