EMPAT orang terbunuh semalam dalam serangan di kem perkhidmatan keselamatan Arab Saudi di utara Riyadh, kata pegawai, dan Kumpulan Negara Islam Syria dan Iraq (IS) mengaku bertanggungjawab.
Memetik kenyataan seorang pegawai perkhidmatan keselamatan negara, Agensi Media Saudi berkata tiga anggota polis turut cedera dalam serangan yang berlaku pada pagi di Zulfi, utara Riyadh itu.
Katanya, “sekumpulan pengganas” cuba “menyerbu bangunan” tetapi berjaya dihalang anggota keselamatan, empat daripadanya berjaya dibunuh.
Siasatan sudah dilancarkan untuk mengenalpasti penyerang serta jenis “bahan letupan” dimiliki mereka, kata SPA lagi.
Akhbar Ashard al-Awsat berpangkalan di London dalam laporan awal menyebut yang serangan menyasarkan pasukan keselamatan di bandar Zulfi, 260 km dari ibu kota negara itu.
Katanya, kenderaan penyerang melanggar sekatan keselamatan di pangkalan itu untuk memasukinya.
Dua penembak kemudiannya keluar dan melepaskan tembakan, mencetuskan pertempuran dengan anggota polis, yang menyebabkan mereka terbunuh.
Pengganas ketiga dibunuh ketika cuba melarikan diri sementara penyerang keempat berjaya dibunuh ketika cuba meletupkan bahan letupan, kata laporan.
Saluran satelit Al-Arabiya milik Arab Saudi turut melaporkan empat terbunuh dalam serangan, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
IS, dalam satu kenyataan disiarkan cabang propagandanya, Amaq, berkata “serangan ke atas pangkalan keselamatan di Zulfi, Riyadh dilakukan pejuang IS.”
Ia tidak memberikan butiran lanjut.
Arab Saudi diserang beberapa kali sejak beberapa tahun lepas oleh pengganas, termasuklah Al-Qaeda dan IS.
Pertempuran anggota keselamatan dengan militan Syiah di timur negara itu juga masih berjalan.
Pemimpin IS, Abu Bakr al-Baghdadi sejak beberapa tahun lepas mengalu-alukan serangan ke atas Arab Saudi, negara yang berpakat dengan Amerika Syarikat untuk memerangi kumpulan itu di Syria dan Iraq sejak 2014.
Kumpulan pengganas itu mengaku bertanggungjawab dalam beberapa serangan di Arab Saudi, menyasarkan pasukan keselamatan dan komuniti Syiah yang dianggap mereka sebagai sesat.
Pada 7 April lepas, dua lelaki bersenjata terbunuh dan dua lagi ditangkap ketika menyerang pondok keselamatan di kawasan Syiah, di timur Arab Saudi. Kawasan itu sejak beberapa tahun lepas menyaksikan peningkatan penentangan terhadap keluarga diraja Saudi.
Serangan semalam berlaku di kawasan majoriti Sunni.
Dianggarkan 10-15% daripada 32 juta penduduk negara ultra konservatif itu adalah Syiah, walaupun tiada angka rasmi wujud. – AFP, 22 April, 2019.
Komen