Mayat 3 pendaki gunung terbunuh di Kanada ditemui


Warga Amerika Jess Roskelley, 36, dan dua warga Austria Hansjorg Auer, 35, dan David Lama, 28, hilang pada Selasa lalu, letiga-tiga mereka dianggap pendaki gunung terbaik zaman ini. – Gambar AFP, 22 April, 2019.

MAYAT tiga pendaki gunung ternama dunia- dua warga Austria dan seorang Amerika- ditemui semalam selepas mereka hilang dalam ribut salji di puncak gunung barat Kanada, kata agensi taman negara.

Warga Amerika Jess Roskelley, 36, dan dua warga Austria Hansjorg Auer, 35, dan David Lama, 28, hilang pada Selasa di Taman Negara Banff. Pihak berkuasa memulakan misi mencari keesokan harinya.

Mereka sebelum itu dalam misi mendaki kawasan timur Howse Pass, sebuah laluan terasing dan paling sukar.

Mereka adalah sebahagian pasukan atlit ternama dunia yang ditaja syarikat Amerika, The North Face.

“Taman Kanada mengucapkan takziah kepada keluarga, kawan-kawan dan kesayangan mangsa,” kata agensi dalam satu kenyataan.

“Kami juga mahu meluahkan takziah tragedi ini kepada komuniti pendaki antarabangsa dan tempatan yang sangat rapat. Ingatan kami kepada keluarga, kawan-kawan dan semua yang terkesan kerana tragedi ini.”

Jess juga adalah anak kepada John Roskelley, yang juga dianggap salah seorang pendaki gunung terbaik generasinya.

Pasangan ayah dan anak itu mendaki Gunung Everest bersama-sama pada 2003. Ketika itu, Jess yang hanya berusia 20 tahun menjadi pendaki termuda menakluk puncak tertinggi dunia itu.

Auer dan Lama dari Tyrol Austria juga dianggap antara pendaki gunung terbaik zaman ini. – AFP, 22 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen