Pelawak Ukraine jadi presiden, raih 73% undi rakyat


Volodymyr Zelensky yang pengalaman politik sebelum ini hanyalah memainkan watak presiden dalam sebuah rancangan TV, menewaskan penyandang Petro Poroshenko dengan meraih 73% undi menurut kiraan akhir. – Gambar AFP, 22 April, 2019.

SEORANG pelawak yang tidak ada pengalaman politik menang besar dalam pilihan raya presiden Ukraine semalam, meraih ucapan tahniah pemimpin dunia dalam keputusan menggemparkan kumpulan elit politik negara itu.

Volodymyr Zelensky yang pengalaman politik sebelum ini hanyalah memainkan watak presiden dalam sebuah rancangan TV, menewaskan penyandang Petro Poroshenko dengan meraih 73% undi menurut kiraan akhir.

Poroshenko meraih hanya 25.5% undi, kalah kepada pelawak dan pelakon berusia 41 tahun itu.

Kempen pilihan raya yang bermula sebagai jenaka itu tetapi menggambarkan kekecewaan rakyat dengan pelbagai masalah ketidakadilan sosial, korupsi dan perang dengan puak pemisah di selatan Ukraine disokong Rusia yang sudah membunuh hampir 13,000 orang.

Bintang rancangan TV “Servant of the People” itu akan menerajui negara dengan penduduk 45 juta orang dibelenggu pelbagai masalah.

“Saya tak akan kecewakan anda,” kata Zelensky kepada penyokongnya di ibu pejabat kempen.

“Saya boleh beritahu semua negara bekas Soviet: ‘Tengok kami! Semuanya mungkin!” katanya.

Kenyataan itu nampaknya ditujukan kepada Rusia, di mana Vladimir Putin yang sudah berkuasa selama 40 tahun dan pilihan raya Ukrain diikuti dengan penuh minat di sana.

Pemimpin dunia dari Eropah dan pelbagai negara lain menzahirkan ucapan tahniah kepada presiden Ukraine baharu itu.

Moscow berkata keputusan pilihan raya itu menunjukkan rakyat Ukraine mahukan “perubahan”.

Dengan lapan peratus undi dikira, keputusan rasmi menunjukkan Zelensky meraih 73% undi dan Poroshenko hanya 25.5%.

Jumlah turun mengundi adalah 62%.

Kempen politiknya tidak mengikut kaedah kempen tradisional sebaliknya membuat persembahan lawak dan menggunakan media sosial untuk mendekati pengundi.

Presiden Ukraine berkuasa ke atas pertahanan, keselamatan dan dasar luar tetapi perlu mendapat sokongan Parlimen untuk melakukan perubahan dasar lain.

Kebanyakan kerusi dalam Parlimen dikuasai parti Poroshenko dan pilihan raya baharu untuk Parlimen dijangka diadakan pada Oktober. – AFP, 22 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen