SUSULAN pengalaman kejayaan Malaysia menangani projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sempat mencetuskan kontroversi, Dr Mahathir Mohamad akan memberi ucapan khas bagi meningkatkan ketelusan dalam projek-projek mega yang diusahakan China di sidang kemuncak global yang penting minggu ini di Beijing.
Mesej khas ini akan dibentang di Forum Belt and Road (BRF), kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking.
BRF akan menjadi projek di bawah inisiatif Belt and Road (BRI) yang menyaksikan China membina projek infrastruktur dengan nilai bilion dolar di kebanyakan negara Asia dunia ketiga. Ia dikenali sebagai salah satu sidang kemuncak antarabangsa terbesar tahun ini, dan akan dihadiri oleh ketua dan wakil 150 negara.
Projek BRI bertujuan untuk memulihkan laluan perdagangan purba China seperti jalan sutera dan membina hubungan komersial dan politik baru sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan pengaruh China sebagai kuasa besar global.
Sesetengah projek ini, bagaimanapun, seperti pelabuhan bernilai AS$1.3 bilion di Sri Lanka dan beberapa jambatan di Maldives, dikritik kerana menjadi perangkap hutang disebabkan tawaran berat sebelah mereka.
Di Malaysia, projek BRI dan usaha yang dibiayai oleh China yang ditandatangani di bawah pentadbiran Barisan Nasional mendapat reaksi skeptikal kerana dicemari syarat-syarat rahsia dan kabur sehingga mencetuskan keraguan.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-14, Dr Mahatir dan gabungan Pakatan Harapan berjanji untuk mengkaji semula projek-projek sedemikian di Malaysia jika mereka mengambil alih tampuk pentadbiran.
Pentadbiran Dr Mahathir harus menangani tuduhan, kebanyakannya daripada bekas anggota rejim Najib Razak, yang mendakwa bahawa kerajaan baharu adalah anti-China selepas menyemak semula ECRL dan membatalkan projek saluran paip gas di Sabah.

Pentadbiran Pakatan Harapan turut menemui tag harga ECRL telah dinaikkan kepada RM60 bilion dan kontrak itu mengandungi syarat yang “pelik”.
Selepas hampir setahun rundingan, kerajaan Pakatan berjaya menurunkan harga kepada RM44 bilion daripada RM65.5 bilion dan pemaju projek bersetuju untuk meningkatkan penyertaan kontraktor tempatan dan pembekal dari 30% hingga 40%.
“Kami tidak pernah menentang BRI, kami hanya menentang salah laku oleh beberapa orang dalam projek di bawah BRI dan PM konsisten mengenai hal ini,” kata Leiking menjelang BRF yang dijangka bermula pada 26 April depan.
Selain dapat menurunkan harga sebanyak RM21 bilion, kajian semula penjajaran baru BRI bermakna ia akan memberi manfaat kepada lima negeri, dan bukannya empat seperti sebelum ini.
Leiking berkata ucapan Dr Mahathir di forum itu akan menyentuh mengenai isu ketelusan dan membayangkan bahawa ia akan dapat menarik perhatian ramai delegasi nanti.
“PM akan menangani (masalah ini), beliau akan naik pentas dan perkara yang menarik tentang dirinya ialah beliau akan mengatakan apa yang mahu disampaikan dan kadang-kadang akan mengejutkan dan mengganggu dunia. Kebanyakan masa walaupun idea beliau mengejutkan dan mengganggu sesetengah orang, mereka akan tetap menghormati idea-ideanya.”
Kejayaan kerajaan Pakatan dalam rundingan semula projek BRI telah menarik pujian daripada pemerhati antarabangsa yang mengatakan bahawa ia boleh menjadi “kajian kes” mengenai bagaimana negara-negara lain boleh memikirkan pendekatan mereka dalam usahasama dengan China. – 22 April, 2019.
Komen