PENGEBOM bunuh diri berbaris untuk sarapan bufet Hari Easter di hotel Cinnamon Grand di Sri Lanka sebelum meletupkan bahan peledak di belakang badannya.
Dilihat membawa pinggan, lelaki itu, yang mendaftar di hotel tersebut malam tadi dengan nama Mohamed Azzam Mohamed, sedang menunggu untuk dilayan ketika meletupkan bom di restoran yang dipenuhi orang itu, kata seorang pengurus di hotel Sri Lanka itu.
“Keadaan jadi huru-hara,” kata pengurus yang bercakap kepada AFP dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan kerana beliau tidak dibenarkan bercakap bagi syarikat itu.
Restoran Taprobane di hotel tersebuk sedang menjalani salah satu hari paling sibuk sepanjang tahun sempena hujung minggu percutian Easter.
“Jam tunjuk pukul 8.30 pagi dan sibuk, restoran penuh dengan ramai keluarga,” kata pengurus itu kepada AFP.
“Dia datang ke dalam barisan dan meletupkan bom itu.
“Salah seorang pengurus kami yang mengalu-alukan tetamu adalah antara yang terbunuh,” katanya lagi.
Pengebom tersebut turut meninggal dunia. Bahagian badannya didapati masih sempurna oleh polis dan dibawa keluar.
Pegawai hotel lain memberitahu bagaimana pengebom itu, yang merupakan warga Sri Lanka, memberi alamat yang ternyata palsu, mengatakan dia berada di bandar itu untuk menjalankan perniagaan.
Dua hotel lain, Shangri-La dan Kingsbury, telah dibom pada masa yang sama, bersama-sama dengan tiga gereja yang dipenuhi dengan pengunjung yang menghadiri majlis doa Hari Easter.
Ledakan di Gereja St Anthony, sebuah Gereja Katolik yang bersejarah, sangat kuat sehingga ia menghilangkan bumbung bangunan, di samping jubin bumbung yang menghempap tubuh mangsa-mangsa kejadian.
Pihak berkuasa masih belum mendedahkan pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan tersebut. Kebanyakan 35 warga asing yang terbunuh dalam ledakan itu berada di hotel, kata pihak berkuasa Sri Lanka. – AFP, 21 April, 2019.
Komen