MEDIA boleh mengkritik kerajaan tetapi ia perlu berdasarkan fakta, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Azizah Wan Wan Ismail.
Beliau berkata memahami ada kalanya laporan berita tidak menyebelahi kerajaan namun menegaskan media perlu menulis dengan tanggungjawab.
“Kita boleh kritik, tetapi lihat juga fakta. Boleh menyoal (kerana) kita ada juga kekuatan. Kekuatan itu perlu disusuli dengan tanggungjawab,” katanya dalam acara ramah mesra bersama media di Cyberjaya.
Pada Oktober lalu, Pakatan Harapan menyatakan sokongan penuh ke atas penubuhan Majlis Media Malaysia sebuah badan bebas untuk mengawalselia media.
Ia dirangka untuk diwakili pihak berkepentingan seperti pengarang kanan dan wartawan, penerbit dan badan bukan kerajaan.
Dalam ucapannya hari ini, Wan Azizah berkata, harapan rakyat yang tinggi semasa Pilihan Raya Umum ke-14 lalu dapat dicapai seikranya kerajaan dan media berkerjasama.
“Sudah dekat setahun kita tukar kerajaan, dulu ramai yang teruja bila tukar tapi euphoria itu sudah tidak ada.
“Lepas tukar orang hendak tengok pengisian lebih penting, rakyat dan kita masing-masing mempunyai harapan tinggi,” katanya. – 21 April, 2019.
Komen