Jokowi, Prabowo diminta henti berbalah keputusan pilihan raya


Perbalahan antara Jokowi dan Prabowo mengenai keputusan pilihan raya presiden menyebabkan rakyat Indonesia keliru dan ragu dengan kenyataan yang dikeluarkan mereka. – Gambar Antara Foto, 21 April, 2019.

JOKO Widodo dan Prabowo Subianto diminta berhenti daripada saling mendakwa masing-masing menang pilihan raya presiden Indonesia minggu lalu sehingga keputusan rasmi diketahui bulan depan.

Ketua Umum Pimpinan Pusat Pemuda Muhammadiyah, Sunanto berkata perbalahan antara kem kedua-dua calon itu mengenai keputusan pilihan raya menyebabkan rakyat Indonesia keliru dan ragu dengan kenyataan yang dikeluarkan mereka.

Sehubungan itum, Sunanto bersama aktivis dan pemerhati politik meminta semua pihak menghormati proses demokrasi yang masih berlangsung memandangkan proses pengiraan undi juga sedang dijalankan.

Beliau juga mengingatkan setiap calon agar mengikut prosedur undang-undang agar tidak melanggar peraturan pilihan raya.

“Saya yakin terhadap kemampuan pihak berkuasa untuk enyelesaikan semua isu dalam pilihan raya secara adil.

“Badan pemerhati pilihan raya, polis dan mahkamah bekerja secara telus, profesional, akauntabiliti dan adil dalam menyelesaikan setiap pelanggaran dalam pilihan raya,” katanya seperti dilaporkan portal medcom.id.

Sunanto juga mengingatkan orang awam agar tidak mudah termakan provokasi dan perlu memeriksa setiap maklumat yang diterima.

“Jangan mudah diprovokasi serta menyebarkan sesuatu maklumat yang belum tentu kesahihannya,” katanya. – 21 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen