India gantung aktiviti dagang sempadan Kashmir-Pakistan


Kementerian Dalam Negeri India berkata aktiviti perdagangan akan digantung sehingga mekanisme pemeriksaan yang lebih ketat beroperasi di kawasan itu. – Gambar EPA, 21 April, 2019.

INDIA menggantung  aktiviti perdagangan di seluruh kawasan pertikaian Kashmir yang bersempadan dengan Pakistan selepas mendakwa senjata dan dadah diseludup menggunakan laluan tersebut.

Pada Khamis, kerajaan India yang kini melalui proses pilihan raya umum, berkata laluan perdagangan di sempadan itu disalah guna oleh anasir dari Pakistan untuk membawa masuk senjata, dadah dan wang palsu.

New Delhi berkata kebanyakan penyeludupan itu berlaku di Zon Garisan Kawalan yang memisahkan Kashmir di bawah kawalan Pakistan dan India.

Kementerian Dalam Negeri India berkata aktiviti perdagangan akan digantung sehingga mekanisme pemeriksaan yang lebih ketat beroperasi di kawasan itu.

Perdagangan rentas sempadan melibatkan penggunaan sistem tukaran barang termasuk cili, mangga dan buah kering.

Aktiviti itu bermula pada 2008 sebagai cara meredakan ketegangan antara India dan Pakistan yang selama puluhan tahun merebut Kashmir.

Akhbar Indian Express melaporkan 35 trak yang membawa buah-buahn dari India ditahan di sempadan atas arahan kerajaan.

Aktiviti perdagangan di sempadan pernah digantung sebelum ini pada 2015 selepas India menuduh seorang pemandu Pakista menyeludup dadah.

Tindakan terbaharu India itu dijangka memburukkan lagi hubungan dengan Pakistan selepas kedua-dua negara hampir mencetuskan perang susulan serangan berani mati yang mengorbankan lebih 40 askar India di Kashmir.

Pakistan bagaimanapun nafi terlibat dalam serangan yang didalangi oleh militan Jaish-e-Mohammed Islamist. – AFP, 21 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen