Mencari hakikat naratif Mohamad Sabu


Zainal Rashid Ahmad

Mohamad Sabu dengan jujur mengakui, pada PRU14 Mei 2018, undi Melayu Islam tidak memihak pada PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 April, 2019.

MEMBACA artikel Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Patahkan naratif Pakatan tidak bela Melayu, Islam – isinya jelas: Menteri Pertahanan itu mahu mengubah persepsi rakyat terhadap kerajaan. 

Malah, artikel siaran 17 April lalu, turut mengupas secara spesifik, sentimen terhadap kerajaan PH yang dianggap tidak mesra Melayu Islam.

Ini semangat utama dalam artikel Mohamad Sabu. Intronya sangat dinamik. Diikuti empat pecahan topik. Segmen pertama, mengenai stigma persepsi Melayu Islam terhadap peranan DAP dalam PH. 

Stigma DAP dianggap bahaya kepada Islam dikupas dengan kesedaran politik yang realisitik dan dinamik.

Malah, Mohamad Sabu dengan jujur mengakui, pada PRU14 Mei 2018, undi Melayu Islam tidak memihak pada PH.

Ini bahagian paling mengagumkan. Jarang kepimpinan PH mahu mengakui: hakikat penolakan Melayu Islam terhadap kerajaan PH sudah wujud melalui pola pengundian PRU14. 

Sekiranya PH menolak realiti ini, naratif untuk meyakinkan Melayu Islam terhadap gabungan empat parti tidak akan menemui titik tepat berasaskan fakta.

Data PRU lalu menunjukkan, 70% hingga 80% undi Melayu Islam memihak kepada BN dan PAS. Kekuatan utama PH berjaya membentuk kerajaan dijana sokongan 90% pengundi Cina dan 75% pengundi India.

Itu hakikat data PRU14 setahun lalu. Ironinya, data terkini semakin kritikal. Kita merujuk kepada impak sokongan pengundi Melayu Islam terhadap PH dalam tiga PRK terkini.

Kekalahan di Cameron Highland, Semenyih dan Rantau sangat berkait rapat dengan defisit sokongan Melayu Islam.

Justeru, amat mengagumkan kerana Mohamad Sabu melalui artikelnya telah mendahului pemimpin PH dalam menerima hakikat pahit ini.

Walaupun BN tumbang, prestasi populariti PH dalam kalangan pengundi Melayu Islam sangat minimal. Mohamad Sabu bertindak bijak dalam soal ini. Iaitu menerima hakikat PH tidak popular dalam kalangan Melayu Islam.

Selain tiga segmen artikelnya yang menyentuh mengenai langkah-langkah kerajaan PH menyelamatkan institusi Melayu Islam, semangat artikel turut menjurus pada iltizam membaiki realiti sokongan yang semakin kritikal dan minimal.

Sebagai parti bertunjangkan Islam dalam PH, Mohamad Sabu sedar, Amanah bertanggungjawab dalam memenangi keyakinan rakyat dalam konteks agenda Islam itu sendiri.

Kekalahan di Cameron Highland, Semenyih dan Rantau sangat berkait rapat dengan defisit sokongan Melayu Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 April, 2019.

Amanah harus berperanan sebagai ‘feeder’ untuk membuktikan kerajaan PH mampu mentadbir dengan baik isu-isu berkaitan kepentingan ummah.

Hanya apabila pemimpin menerima hakikat, barulah usaha penambahbaikan dapat dilaksanakan secara objektif dan realistik. Selalunya apabila berkuasa, sikap realistik antara kelemahan utama. Kuasa membuatkan orang politik suka berbudaya selesa. 

Memang PH sudah berjaya membentuk kerajaan. Itu kejayaan besar, tetapi anggap saja satu sejarah. Tugas politik bukan berbangga pada sejarah, tetapi mengisi sejarah itu sendiri lebih penting.

PRU15 akan datang hanya empat tahun lagi. Justeru, apakah naratif Amanah dalam memastikan defisit keyakinan Melayu Islam dapat ditangani dengan tepat dan benar?

Tiga PRK terutama di Cameron Highland, Semenyih dan Rantau selepas tujuh hingga 11 bulan PH berkuasa, makin menampakkan stigma Melayu Islam terhadap kerajaan meningkat dengan drastik.

Artikel Mohamad Sabu menerima hampir 167 komen di portal yang dianggap pro PH. Namun, 70% memberikan respon negatif dalam menilai prestasi PH terhadap isu-isu berkaitan Islam.

Mohamad dalam rencananya menjelaskan usaha PH menyelamatkan Tabung Haji (TH) dan Felda melalui bailout kerajaan. 

Manakala, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) distruktur semula. Tiga hujah ini digunakan Mohamad sebagai gambaran, PH bukan anti Melayu dan Islam.

Malah, relatifnya - mesej utama artikel Mohamad Sabu ialah menolak dakwaan DAP bersikap anti Melayu Islam. 

Naratifnya, Kementerian Kewangan yang diketuai Lim Guan Eng antara pembuat keputusan penting dalam menyelamatkan TH dan Felda. Mustahil bailout ini boleh dilaksanakan sekiranya DAP memusuhi Melayu Islam.

Ini naratif penting dalam krisis sokongan Melayu Islam terhadap PH. Jentera persepsi BN terutama UMNO, berjaya membina stigma: DAP kuasa utama yang berada di belakang dasar kerajaan hari ini.

Malah, naratif pembangkang berjaya menggambar peranan DAP sebagai punca PH mengamalkan dasar tidak mesra Melayu Islam.

Kementerian Kewangan yang diketuai Lim Guan Eng antara pembuat keputusan penting dalam menyelamatkan TH dan Felda. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 April, 2019.

Umno berjaya menunggang isu ICERD dan Statut Rom sebagai pemacu stigma ini. Selain isu berpanjangan mengenai pengiktirafan sijil UEC yang memberi lebihan untung untuk dispekulasikan pembangkang.

Isu status UEC kekal menjadi peluru UMNO kerana hingga kini tiada keputusan muktamad diumumkan.

Mesej artikel ini sangat mudah: “Bang Mat nampak masalah naratif ini. Tetapi apa tindakan strategik Amanah dalam mengatasi perang persepsi yang membentuk stigma ini?”

Apabila artikel Mohamad Sabu tersiar, 167 komen balas harus dilihat sebagai rujukan indikasi awam. Jangan percaya semua komen balas itu datang daripada laskar siber Umno.

Terima dengan baik, bahawa sekali pun komen itu tidak popular, itulah suara rakyat.

Masalah akan lebih serius sekiranya Mohamad Sabu menerima nasihat yang salah. Sebagai pemimpin, abaikan nasihat murahan. 

Penasihat murahan akan berkata: “Semua komen jahat adalah serangan laskar siber Umno dan BN.”

Percayalah. Apabila PH berjaya membentuk kerajaan pada PRU14, keberkesanan kempen era laskar siber sudah berlalu. Umno dan BN memelihara ribuan laskar siber – tetapi akhirnya rebah juga ke tanah.

Enam bulan selepas PRU14, bekas PM, Najib Razak menerima hakikat: laskar siber UMNO selama ini hanya menghabiskan beras. 

Kenyataan Najib satu hakikat pedih yang akhirnya diterima bekas PM itu. Bahawa, kepercayaan UMNO dan BN pada laskar siber hanyalah satu mitos palsu.

Justeru, Mohamad Sabu wajar menerima hakikat: Terima semua komen dan dengarkan sebagai suara rakyat Melayu Islam.

Ambil hakikat dan berdasarkan realiti itu. Jadikan fakta untuk Amanah menyusun tindak balas secara berfakta. Pastikan naratif parti itu relevan untuk meningkatkan keyakinan Melayu Islam terhadap PH.

Sangkaan semua benda buruk mengenai PH adalah kerja laskar siber Umno harus dihentikan. Jangan ulangi kesilapan Najib yang menganggap serangan terhadap BN dalam media baharu dulunya, adalah agenda laskar siber Red Bean.

28 juta akaun Facebook di negara ini adalah akaun rakyat. Laskar siber pada era ini hanyalah sampah. Walaupun masih ada parti yang terus membiayai dana pada laskar siber, ia hanya pembaziran.

Enam bulan selepas PRU14, bekas PM, Najib Razak menerima hakikat: laskar siber UMNO selama ini hanya menghabiskan beras.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 April, 2019.

Laskar siber hanya ‘polong tidak bertuan’.

Selepas BN tumbang pada PRU 14, media sosial bukan lagi padang permainan laskar siber. Akaun media sosial secara amnya harus dinilai sebagai tempat rakyat bersuara.

Saki-baki laskar siber mungkin masih wujud dan kekal menjadi ‘polong yang dipiara tuan politiknya’. Namun, suara mereka hanya sekadar menyalak. 

Percayalah, rakyat sudah mahir mengenali ‘mana anjing dan mana manusia’ dalam penampilan akaun media sosial.

Mohamad Sabu harus mencipta naratif baharu. Artikel yang ditulis dengan intro yang matang dan merendah diri adalah gambaran jiwa besar seorang pemimpin. 

Namun, yang lebih penting ialah menyediakan ruang naratif politik dengan strategi penjelasan yang konsisten dan bebas daripada pemikiran ‘menjawab semua benda secara politik’.

Naratif Amanah selaku parti tunjang Islam dalam PH mestilah menilai realiti stigma yang sebenar. Bahawa, mendepani rakyat adalah dengan menyediakan penjelasan yang dapat diterima. 

Jawapan mestilah berpegang kepada menyelesaikan ‘hakikat ketakutan rakyat’ dan bukan ‘melayani serangan politik PAS dan UMNO’.

Jadi, persoalan sekarang: Apakah Amanah sudah menggerakkan jentera yang efisien dan konsisten dalam membina naratif bagi menghapuskan stigma PH tidak mesra Melayu Islam?

Pasti Mohamad Sabu lebih tahu. Semangat dalam artikelnya jelas menggambarkan - wujud kesedaran dan jiwa besar untuk menangani kemelut defisit keyakinan ummah terhadap PH.

Menerima hakikat pada tahun pertama menjadi kerajaan adalah tanda berjiwa besar. Menyedarinya setahun sebelum PRU 15 hanya satu melapetaka. – 21 April, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen