Kos ECRL turun kerana elak laluan Bentong, Gombak


Lee Chi Leong

Pada 12 April, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) menandatangani perjanjian tambahan (SA) untuk menyambung semula projek dengan kos dikurangkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 April, 2019.

PROJEK Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dikurangkan hampir RM7 bilion hingga RM 8 bilion dari kos pembinaannya melalui perjanjian baharu dengan mengelak laluan Bentong dan Gombak, kata sumber. 

Sumber berkata, jajaran baharu yang mengelak dua laluan itu mengurangkan antara 18 dan 22 kilometer (km) laluan landasan.

“Stesen Bentong dan Gombak dikeluarkan dari jajaran kerana isu terowong menelan belanja RM10 bilion dan merentas Banjaran Titiwangsa,” katanya.

Menurut sumber lagi, laluan lama dari Kuantan ke Bentong dan dari Mentakab ke Gombak sangat panjang.

“Laluan itu memerlukan trek sejauh 18 dan 22km. Dengan memotong seksyen berkenaan, kami menyelamatkan antara RM7 hingga RM8 bilion.

“Sekarang laluan Mentakab akan melalui Bukit Putus di Negeri Sembilan, bukan di Bentong,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Sumber itu menambah, laluan baharu itu hanya melibatkan terowong kira-kira 3 hingga 4km sahaja.

Projek ECRL yang dimulakan kerajaan sebelumnya digantung pada tahun lepas kerana kosnya yang tinggi.

Pada 12 April, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) menandatangani perjanjian tambahan (SA) untuk menyambung semula projek dengan kos dikurangkan.  – 21 April, 2019.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen