Siar iklan bertema Tiananmen, China kecam Leica


Pembuat kamera Jerman, Leica mendapat kecaman China gara-gara penyiaran iklan bertema peristiwa Tiananmen 1989, sejarah yang masih tabu untuk dibicarakan di negara panda berkenaan. – Gambar EPA, 21 April, 2019.

PEMBUAT kamera Jerman, Leica mendapat kecaman China gara-gara penyiaran iklan bertema peristiwa Tiananmen 1989, sejarah yang masih tabu untuk dibicarakan di negara panda berkenaan.

Iklan bertema pendek filem itu disiarkan minggu ini menggambarkan seorang wartawan memegang kamera Leica sedang berusaha mendapatkan gambar di zon bahaya.

Gambar yang terakam merupakan seorang lelaki ketika demonstrasi Tiananmen.

Gambar seorang warganegara berdepan tentera China mungkin imej paling ikonik dari protes pro-demokrasi selama seminggu yang melumpuhkan Beijing pada 1989.

Demonstrasi itu ditindas oleh angkatan bersenjata dengan ribuan orang dipercayai terbunuh.

Sehingga kini demonstrasi Tiananmen 1989 tidak banyak diperkatakan di China kerana banyak versi yang timbul dalam peristiwa berdarah tersebut.

Video itu berakhir dengan imej logo Leica.

“Filem ini didedikasikan untuk mereka yang meminjamkan mata mereka untuk membuat kita melihat,” kata kenyataan di akhir video itu.

Filem itu mencetuskan kemarahan netizen dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Jurucakap syarikat memberitahu South China Morning Post bahawa video yang dihasilkan oleh agensi Brazil, F / Nazca Saatchi Saatchi belum secara rasmi disahkan oleh Leica.

Leica menyesali salah faham yang berlaku di atas penyiaran video berkenaan.

AFP belum mendapat keterangan lanjut daripada Leica berhubung penyiaran video itu.  

Carian di media sosial China gagal menemui video dan perbincangan mengenainya disebabkan media negara itu sudah membuat tapisan besar-besaran.

Bagaimanapun akaun syarikat Leica di platform Weibo boleh diakses dan tidak disekat seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

Leica bukan satu-satunya syarikat luar China yang pernah mendapat kecaman berhubung isu sensitif di China.

Tahun lepas, Mercedes-Benz memohon maaf kerana menyakitkan perasaan penduduk China selepas akaun Instagramnnya menggunakan sebutan Dalai Lama, seorang ketua agama Tibet yang diasingkan oleh Beijing sebagai pemisah.

Syarikat fesyen, Itali Dolce & Gabbana juga mendapat kecaman setelah iklannya memaparkan model cantik makan menggunakan sumpit dinilai merendahkan tradisi China. – AFP, 21 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen