Jualan senjata api meningkat di Mosul 


Seorang pemilik kedai senjata api memeriksa selaras senapang di Mosul, Iraq.– Gambar EPA, 21 April, 2019

KEDAI menjual senjata api semakin banyak di Mosul, Iraq yang mana penduduknya berminat untuk memiliki senjata api sendiri berikutan keadaan tidak menentu selepas pemerintahan militan.

Kumpulan IS menguasai negara itu selama tiga tahun sebelum ditumbangkan oleh pasukan tentera Iraq pada pertengahan 2017.

Namun kumpulan militan itu masih aktif di sepanjang wilayah sempadan, yang menjadi lokasi jualan senjata mendapat permintaan yang tinggi.

“Kami menerima ramai pelanggan,” kata salah seorang pemilik kedai senjata api berusia 40-an, yang memiliki lesen jualan daripada kementerian dalam negeri Iraq beberapa bulan lalu.

Kesemua pelanggannya mempunyai permit senjata api, dan “ramai juga yang memiliki kad keahlian angkatan bersenjata,” katanya kepada AFP. 

Menurutnya, antara senjata api yang popular adalah raifel berburu.

“Senjata ini adalah 70% daripada jualan saya,” katanya.

Iraq mempunyai kadar pemilikan senjata api paling tinggi di dunia dalam kalangan orang awam, yang mana menurut kaji selidik Small Arms, dianggaran 20 senjata api untuk 100 orang awam Iraq tahun lalu.

Pemilikan senjata api dijangka akan terus meningkat berikutan pindaan undang-undang Iraq pada 2018 yang membenarkan orang awam untuk membeli pistol dan senjata semi automatik.

Di Mosul sahaja, dianggaran 130 kedai berlesen baharu dibuka. – AFP, 21 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen