Usah lagi harap satu lawan satu, sedia 3 penjuru, kata Azmin Ali


Noor Azam Shairi

PAKATAN Harapan (PH) Selangor tidak boleh terus-menerus berharap tidak akan berlaku pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti walaupun pertandingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) adalah “pilihan yang terbaik”, kata pengerusinya, Mohamed Azmin Ali.

Oleh sebab itu, katanya, PH Selangor bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan pertandingan tiga penjuru di negeri itu.

“Sebagai sebuah parti politik, kita mesti bersedia untuk sebarang kemungkinan.

“Kalau kita boleh selesaikan dengan straight fight itu pilihan yang terbaik. Tetapi kalau tidak boleh selesai dengan straight fight, PH mesti bersedia,” katanya ketika ditemui selepas majlis Dialog Malaysia Baru di Shah Alam.

Azmin diminta mengulas langkah PAS Selangor yang melancarkan semboyan siap sedia pada tahap tertinggi untuk seluruh jentera pilihan rayanya meliputi 22 kawasan Parlimen dan 56 kawasan dewan undangan negeri bagi menghadapi PRU14 pada bila-bila masa, bermula hari ini.

Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi dalam kenyataannya hari ini turut mengumumkan slogan parti Islam itu menyertai PRU14 nanti iaitu “Menerajui Kesejahteraan Selangor”.

Beliau juga sekali lagi menegaskan keputusan PAS bertanding di sekurang-kurangnya 42 kerusi DUN dan seberapa banyak kerusi Parlimen yang mungkin di negeri itu.

Menurut Azmin, beliau kini fokus untuk memperkukuhkan jentera PH dan bersedia menghadapi kemungkinan pertembungan tiga penjuru seperti yang diputuskan oleh gabungan pembangkang itu di peringkat nasional.

“Itu memang ketetapan yang kita ambil dari awal lagi,” katanya.

Beliau merujuk kepada keputusan Majlis Presiden PH awal bulan ini menutup pintu rundingan dengan PAS dan kesediaan menyusun strategi menghadapi pertembungan tiga kerusi pada PRU14.

“Yang penting jentera di bawah kena bersiap sedia dengan segala kemungkinan.”

Ditanya mengenai rundingan kerusi antara parti komponen PH dan kemungkinan PKR diberikan jumlah kerusi yang kurang berbanding PRU13, Azmin yang juga pengarah pilihan raya PH berkata, rundingan masih belum selesai.

“Saya tidak boleh maklumkan sekarang kerana saya tidak ada maklumat. Rundingan masih aktif, masih berjalan,” katanya.

Selain PKR, PH dianggotai oleh DAP, Bersatu dan Amanah.

Timbalan presiden PKR itu menambah beliau tidak pasti apakah partinya akan dapat jumlah kerusi yang kurang atau lebih kerana apa yang lebih penting ialah parti apa pun yang bertanding di mana-mana kerusi, parti itu mesti boleh menang.

“Kalau ada rakan-rakan kita yang boleh menonjolkan calon yang lebih baik, dengan jentera yang lebih kuat, kita akan pertimbangkan.

“Kita hendak menang sebagai PH, bukan sebagai parti individu,” katanya. – 16 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen