Anggota pengaman PBB terbunuh akibat letupan periuk api di Mali 


Anggota pasukan pengaman PBB berdepan ancaman kumpulan militan di Mali sejak misi keamanan dijalankan di negara itu sejak 2012.– Gambar EPA, 21 April, 2019

SEORANG anggota pengaman Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) terbunuh manakala empat lagi cedera apabila periuk api meletup ketika konvoi mereka melalui tengah Mali, kata misi pengaman PBB ke negara itu.

Letupan itu mengenai sebahagian daripada pasukan pengaman PBB kontinjen Mesir hingga memaksa sempadan Burkina Faso ditutup, kata misi kestabilan PBB di Mali (Minusma).

Anggota pasukan pengaman yang terbunuh itu merupakan warga Mesir.

Menurut sumber pasukan keselamatan itu, seorang daripada penyerang turut terbunuh.

Ketua Minusma, Mahamat Salleh Annadif menyifatkan ia sebagai “serangan pengecut”.

Sementara itu, pejabat ketua PBB Antonio Guterres mengeluarkan kenyataan menyatakan pasukan pengaman PBB “bertindak balas, membunuh seroang pelaku dan menahan lapan yang lain.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa Mali untuk “mengambil langkah segera bagi mengenal pasti dalang di sebalik serangan itu dan mengheret mereka ke muka pengadilan.”

Misi pengaman PBB ditubuhkan di Mali selepas kumpulan militan menguasai kawasan utara negara itu pada 2012. Mereka dipaksa berundur pada 2013 oleh tentera Perancis.

Perjanjian damai ditandatangani pada 2015 oleh kerajaan Bamako dan kumpulan bersenjata terbabit untuk mengembalikan kestabilan. Namun ia gagal menyekat keganasan. – AFP, 21 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen