Ratusan penunjuk perasaan 'jaket kuning' ditahan di Paris


Anggota polis Perancis berdepan dengan penunjuk perasaan "jaket kuning" yang merusuh dan merosakkan harta benda awam di ibu negara Perancis.– Gambar EPA, 21 April, 2019

POLIS Perancis menahan lebih 200 penunjuk perasaan “jaket kuning” di Paris pada Sabtu selepas tercetus pertempuran pada minggu ke 23 protes anti-kerajaan.

Wartawan AFP melaporkan pertempuran tercetus antara penunjuk perasaan dan polis pada petang Sabtu, selepas keadaan tenang selama beberapa jam, yang mana polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan itu di ibu negara Perancis.

Terdapat segelintir penunjuk perasaan bertindak membaling botol dan objek lain ke arah polis dan membakar kenderaan, penghadang keselamatan serta tong sampah.

Banyak kerosakan yang berlaku dalam dua pertempuran utama di Bastille dan Republique, kata timbalan datuk bandar Paris, Emmanuel Gregoire kepada AFP. 

“Keganasan ini perlu dihentikan!” tambahnya.

Pihak berkuasa menggerakkan lebih 60,000 anggota polis dan pasukan separa tentera ke seluruh Perancis bagi mengekang keganasan yang sama pada 16 Mac di Champs-Elysees.

Polis Paris melaporkan, 227 orang ditahan dan lebih 20,500 orang diperiksa. Menjelang malam, 178 orang ditahan termasuk enam remaja bawah umur, kata pejabat pendakwa raya.

Menteri Dalam Negeri Perancis Christophe Castaner mengucapkan tahniah kepada polis kerana berjaya menghalang lebih banyak kerosakan yang berpunca daripada demonstrasi itu.

Selain di ibu negara, di bandaraya lain turut berlaku demonstrasi termasuk di Lille, Bordeaux dan Toulouse. – AFP, 21 April, 2019
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen