SEKITAR lima tahun lalu, penjaja makanan menggunakan lori berhias dipanggil food truck mencetus fenomena.
Hinggakan, Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) membuka enam tapak kawasan perniagaan food truck sekitar ibu kota dan trend tersebut menular di negeri lain.
Konsep perniagaan moden itu membolehkan pengusaha berniaga di mana sahaja dan mendapat tempat di kalangan usahawan terutama golongan muda.
Namun para pengusahanya memberitahu The Malaysian Insight, perniagaan tersebut sedikit suram, tidak seperti ketika awal kemunculannya.
Seorang peniaga Noraini Abdul Hamid, 47, berkata realiti perniagaan itu tidak seindah yang disangka.
Noraini yang berniaga sejak 2016 berkata mereka menanggung kos operasi yang tinggi setiap bulan seperti sewa tempat, lesen, selain berdepan dengan persaingan tinggi
“Dulu memang orang berlumba-lumba nak buat perniagaan ini, mereka ingat senang. Beli food truck lepas itu terus berniaga,” kata peniaga nasi lemak itu ketika ditemui The Malaysian Insight.
Tanpa ilmu atau pengalaman, sukar untuk peniaga food truck bertahan katanya yang menyaksikan ramai pengusaha kecundang.
Jelasnya, peniaga yang rugi terpaksa berhenti berniaga dan menjual atau menyewa food truck mereka kepada orang lain.

“Kos operasi agak tinggi. Paling murah, food truck berharga lebih RM100,000. Itu belum masuk kos ubah suai, dan bulan-bulan kena bayar hutang lori ini dalam RM1,300 atau RM1,400.
“Lepas itu kita nak bayar pekerja lagi, sewa tapak tiap hari-hari kita kena bayar,” katanya.
Untuk mengelakkannya dibeban kos yang tinggi, Noraini berkata beliau memilih membeli food truck terpakai tanpa berhutang.
“Kita tak berhutang. Dari situ sudah jimat sebab tak perlu nak fikir bayar (lori) bulan-bulan,” katanya memilih jenis perniagaan itu sebagai pendapatan tambahan menyara keluarga.
“Kami suami isteri bekerja dalam bidang produksi, kalau tidak dah habis projek, dalam tempoh empat lima bulan kita tak buat apa.
“Jadi kami ambil keputusan untuk berniaga, lagi pun saya suka konsep food truck yang mudah bergerak berbanding kita pacak gerai,” katanya.
Pilih tempat, jualan unik
Faizal Riza 45, yang menjual air minuman berkata cabaran peniaga food truck sepertinya ialah memilih tapak berniaga yang boleh menarik kunjungan orang ramai.
“(Sejak) saya masuk berniaga di tapak ini, jualan naik sebanyak 200% ke 300% berbanding kalau kita letak food truck sendiri di luar,” katanya.
Beliau berniaga di Sedap TTDI, sebuah tapak food truck di Taman Tun Dr Ismail, Petaling Jaya yang disediakan penganjur.
“Orang ramai lebih senang datang ke tapak ini sebab kawasan lapang, ada kerusi meja, selesa dan selamat, tapi bergantung pada tempat dan penganjur ada setengah tempat tak untung juga.”
Selain itu peniaga food truck turut berdepan persaingan tinggi daripada peniaga lain jika menjual makanan dan minuman serupa.
“Sebab itu kena jual makanan dan minuman yang unik, kita nak elak sama dengan orang lain. Saya jual minuman teh ais Thailand. Di sini saya seorang sahaja yang jual, jadi jualan bagus,” katanya.

Beliau mengusahakan perniagaan itu bersama isteri dengan modal RM40,000 selepas diberhentikan kerja oleh syarikatnya pada 2016 ekoran kelembapan ekonomi.
“Lepas saya diberhentikan kerja saya dengar kawan saya ada berniaga teh ais guna food truck mereka untung, jadi saya dengan isteri cubalah berniaga,” katanya.
Tambahnya lagi rata-rata peniaga food truck sukar memohon permit daripada pihak berkuasa tempatan kerana peraturan masih kabur.
“Untuk lesen ini bergantung kepada pihak majlis, kita cuba minta, tapi agak kabur lah syarat dan prosesnya.”
Beliau memberi contoh, DBKL hanya mengeluarkan lesen untuk pengusaha food truck berniaga di tiga tempat.
“Untuk kami perniagaan yang bergerak memang tidak sesuailah kalau nak kena hadkan tempat berniaga tiga kawasan sahaja.”
Seorang pengusaha makanan ala barat, Mohd Fauzan Rusnan, 27, pula yakin perniagaan itu masih lagi menjadi pilihan memandangkan industri tersebut mendapat sokongan kerajaan.
Namun katanya, adat berniaga sudah pasti ada pasang surut dan mereka perlu menghadapi persepsi bahawa makanan jualan tersebut mahal.
“Sekarang ini ramai yang kecam makanan food truck mahal, tapi kita tak boleh kurangkan harga sebab kena tengok kos operasi dan kualiti makanan kita.”
Pemuda yang mempunyai latar belakang pendidikan kulinari itu mengakui persepsi tersebut telah menjejaskan perniagaan mereka.
“Tapi kita nasib baik ada pelanggan tetap. Kita terangkan pada mereka, bukan senanglah kita nak kekalkan kos, jadi lama-lama mereka terima,” katanya.
Fauzan berkata mereka menjual makanan pada harga sama sejak mula berniaga pada 2016 dan tidak pernah sekalipun menaikkan harga. – 5 Mei, 2019.
Komen