SUSULAN persaraan Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim pada 12 April lalu, spekulasi mengatakan jawatan tertinggi badan kehakiman itu bakal digantikan oleh seorang wanita buat kali pertama dalam sejarah negara.
Ini memandangkan seorang daripada tiga nama calon yang diusulkan kepada Yang di-Pertuan Agong merupakan wanita.
Pada Jumaat, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan masih menunggu perkenan Yang Di-Pertuan Agong dan Persidangan Raja-Raja berhubung usul Putrajaya untuk ketua hakim negara yang baharu.
Antara nama yang dipercayai dihantar oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman termasuk hakim Mahkamah Persekutuan Tengku Maimun Tuan Mat.
Tengku Maimun yang dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan pada 26 November 2018, merupakan Pesuruhjaya Kehakiman pada 2006 sebelum dilantik menjadi hakim Mahkamah Tinggi Malay. Beliau kemudiannya dinaikkan ke Mahkamah Rayuan pada 2013.
Pada November 2016, beliau dianugerahkan Darjah Dato’ Paduka Setia Mahkota Kelantan, yang membawa gelaran Datuk oleh Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.
Satu lagi nama yang dipercayai dihantar adalah hakim Mahkamah Persekutuan Azahar Mohamed yang merupakan seorang graduasi London School of Economics and Political Science dan mempunyai pengalaman kehakiman selama 40 tahun.
Azahar dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 2004 sebelum berkhidmat di Mahkamah Tinggi Malaya dan Mahkamah Rayuan. Kemudian beliau dinaikkan ke Mahkaman Persekutuan pada 2014.
Azahar merupakan antara lima panel Mahkamah Persekutan yang sebulat suara yang menghalang usaha terakhir Gereja Katolik untuk mencabar larangan Kementerian Dalam Negeri bagi penggunaan perkataan ‘Allah’.
Apada 2017, Azahar dilantik oleh bekas perdana menteri Najib Razak sebagai antara 10 anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), yang ditugaskan untuk memilih hakim-hakim mahkamah tinggi. Beliau masih merupakan anggota JAC.
Calon ketiga dipercayai merupakan hakim Mahkamah Tinggi Idrus Harun yang dinaikkan dari Mahkamah Rayuan pada 26 November tahun lalu.
Idrus merupakan bekas bekas peguam cara umum dan pernah berkhidmat sebagai penasihat undang-undang di Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Adiknya, Azhar Harun, adalah pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Abangnya, Mahadir Harun pernah berkhidmat sebagai penasihat undang-undang untuk kementerian perdagangan dan industri ketika diterajui oleh Dr Mahathir pada 1978 hingga 1981.
Antara nama hakim lain yang disebut-sebut sebagai calon dari Mahkamah Persekutuan untuk menjadi ketua hakim negara adalah Alizatul Khair Osman Khairuddin, Rohana Yusuf dan P. Nalini.
Malanjum, yang merupakan bekas ketua hakim Sabah dan Sarawak, dilantik sebagai Ketua Hakim oleh Agong pada 11 Julai tahun lalu, menjadikan tempoh perkhidmatan paling pendek dalam sejarah iaitu sembilan bulan sahaja.
Pada 12 April lalu, Malanjum sudah mencapai usia 66 tahun dan enam bulan, umur persaraan mandatori untuk hakim seperti termaktub dalam Artikel 125 (1) Perlembagaan.
Beliau merupakan rakyat Malaysia pertama dari Borneo yang memegang jawatan tertinggi itu dan juga merupakan rakyat Sabah pertama dilantik menjadi hakim di mahkamah tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Sebelum ini, tempoh lanjutan diberikan kepada bekas ketua hakim Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin.
Kedua-dua mereka terlibat dalam kes saman oleh Dr Mahathir yang menyifatkan tempoh lanjutan mereka itu sebagai tidak berperlembagaan.
Kedua-duanya meletak jawatan selepas Pakatan Harapan mengambil alih kuasa pada Mei tahun lalu.
Tiga lagi hakim yang dijangka bersara tidak lama lagi adalah Presiden Mahkamah Rayuan Ahmad Maarop dan Ketua Hakim Malaya Zaharah Ibrahim yang akan melepaskan jawatan pada tahun ini.
Seorang lagi adalah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak David Wong yang dijangka bersara pada Februari tahun depan. – 21 April, 2019.
Komen