Mesir adakan pungutan suara benar Abdel Fattah terus berkuasa


Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi berkata beliau memerlukan masa yang lebih lama untuk memulihkan keselamatan dan kestabilan selepas penggulingan Hosni Mubarak pada Kebangkitan Arab pada 2011. – Gambar EPA, 20 April, 2019.

RAKYAT Mesir hari ini mengundi dalam satu pungutan suara untuk mengukuhkan pemerintahan Presiden Abdel Fattah al-Sisi.

Pengundi diminta untuk menyokong pindaan Perlembagaan bagi membolehkan Abdel Fattah, 64, untuk memerintah satu lagi penggal selama enam tahun selain menguatkan kawalannya ke atas sistem kehakiman serta memberi tentera pengaruh yang lebih besar dalam politik.

Pungutan suara selama tiga hari itu diadakan selepas tunjuk perasaan prodemokrasi diadakan di beberapa negara Afrika Utara termasuk Algeria dan Sudan sehingga menyaksikan presiden kedua-dua negara digulingkan.

Abdel Fattah antara yang terawal mengundi di Heliopolis, Kaherah.

Di Shubra, berpuluh-puluh pengundi, kebanyakannya wanita yang membawa anak masing-masing, beratur di luar pusat pengundian di sebuah sekolah.

Di Kaherah, tentera dan polis dikerah untuk bertugas mengawal keadaan walaupun kementerian dalam negeri enggan menyatakan jumlah anggota keselamatan yang digunakan di seluruh negara.

Mesir masih memerangi pemberontakan di Semenanjung Senai selepas beberapa siri serangan dilancarkan di Kaherah dan bandar-bandar lain.

Abdel Fattah sebelum ini berkata beliau memerlukan masa yang lebih lama untuk memulihkan keselamatan dan kestabilan selepas penggulingan Hosni Mubarak pada Kebangkitan Arab pada 2011.

Di jalanan, penyokongnya mengibarkan bendera yang tertera slogan kempen, ‘Buat yang sebetulnya’ sambil meminta orang ramai keluar mengundi dan memilih ‘Ya’.

Abdel Fattah memenangi penggal pertamanya sebagai presiden pada 2014, setahun selepas dia mengetuai tentera untuk menggulingkan Mohamed Morsi yang dipilih secara demokrasi.

Tanpa cabaran dan pennguduran pesaingnya, beliau sekali lagi dipilih pada Mac 2018 dengan sokongan lebih 97%.

Kedua-dua pilihan raya itu mengundang kritikan kumpulan hak asasi manusia yang mendakwa kerajaan Abdel Fattah menindas pemimpin parti Islam dan sekular.

Awal minggu ini, Parlimen meluluskan pindaan Perlembagaan untuk membenarkan pembentukan dewan Parlimen kedua dan memastikan kuota sekurang-kurangnya 25% penggubal undang-undang adalah wanita.  – AFP, 20 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen