MALAYSIA memerlukan undang-undang yang lebih baik untuk melindungi pekerja asing selepas M.A.S. Ambika terlepas daripada kesalahan membunuh pembantu rumahnya dari Indonesia, kata Steven Sim.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu berkata beliau sudah menghubungi Peguam Negara (Tommy Thomas) untuk meminta penjelasan dan dimaklumkan bahawa perkara itu akan disiasat.
“Peguam negara memaklumkan beliau sendiri akan menyiasat perkara ini untuk tindakan lanjut.
“Saya percaya beliau dan sistem perundangan akan mengangkat keadilan.
“Saya mengulangi pendirian bahawa Malaysia memerlukan undang-undang yang lebih baik untuk melindungi pekerja asing di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Ambika, 61, berdepan hukuman mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Adelina Lisao, 26, pada Februari tahun lalu.
Ambika dilapor dibebaskan sepenuhnya walaupun pihak pendakwa raya meminta pelepasan yang tidak menjurus kepada pembebasan.
Adelina meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam pada 11 Februari tahun lalu, sehari selepas dia dimasukkan ke hospital.
Sim berkata eksploitasi pekerja asing merupakan pencabulan hak asasi dan masalah sosio-ekonomi.
“Jika tidak diselesaikan, masalah ini akan memberi impak kepada pasaran kerja tempatan secara negatif.
“Malah hak asasi manusia perlu dilindungi untuk semua orang tanpa mengira kewarganegaraan.”
Beliau berkata lebih penting lagi adalah pihak berkuasa perlu memastikan tragedi yang sama tidak berulang. – 20 April, 2019.
Komen