KETUA Hakim India Ranjan Gogoi menepis tuduhan melakukan gangguan seksual yang didakwa oleh seorang bekas pekerja Mahkamah Rayuan, dengan menyifatkan tuduhan itu sebagai sukar dipercayai.
Gogoi berkata tuduhan itu dibuat oleh pembantu mahkamah berusia 35 tahun sebagai usahanya untuk menghalang beliau membicarakan kes-kes penting.
Hakim berusia 64 tahun itu meminta satu sesi khas diadakan di mahkamah tertinggi di negara dan berkata adalah tidak wajar buatnya hanya menafikan tuduhan itu yang disifatkan sebagai provokosi dari pihak yang lebih berpengaruh.
Wanita terbabit menulis kepada 22 hakim Mahkamah Agung pada Jumaat dengan mendakwa Gogoi melakukan serangan seksual sebanyak dua kali terhadapnya di kediaman rasmi beliau pada Oktober tahun lalu.
“Beliau memeluk saya dan menyentuh seluruh badan saya selain enggan melepasnya,” katanya dalam afidavit tersebut.
Wanita itu juga mendakwa dia dipecat dan keluargannya dimalukan kerana mendedahkan perbuatan Gogoi.
Beliau meminta Mahkamah Agung menubuhkan satu jawatankuasa siasatan khas untuk meneliti afidavitnya.
Bagaimanapun Gogoi yang akan bersara pada November ini, berkata beliau akan meneruskan tugasnya tanpa rasa takut.
“Terdapat pengaruh yang cuba menggugat kestabilan kehakiman. Ada pengaruh yang lebih besar di sebalik tuduhan yang dilemparkan kepada saya,” katanya pada sesi pendengaran khas.
Beliau juga berkata wanita itu mempunyai rekod jenayah. – AFP, 20 April, 2019.
Komen