DUA remaja lelaki ditahan susulan seorang wartawan mati ditembak ketika membuat liputan tunjuk perasaan di Ireland Utara pada Khamis, kata polis, hari ini.
Remaja berusia 18 dan 19 tahun itu ditahan di Londonderry di bawah undang-undang anti keganasan.
Mereka dibawa ke Belfast untuk disoal siasat, kata Perkhidmatan Polis Ireland Utara.
Wartawan malang itu, Lyra McKee, ditembak di kepala. Polis percaya McKee ditembak kumpulan separa tentera, New IRA dalam satu kejadian tunjuk perasaan di estet Creggan di Derry.
Detektif menyiarkan rakaman tunjuk perasaan untuk mendapatkan bantuan orang ramai menjejaki penembak wartawan itu.
Rakaman menunjukkan kereta dan van dibakar serta beberapa orang memakai hud membaling petrol ke arah kenderaan polis.
Ketua polis, Mark Hamilton semalam berkata seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di kawasan perumahan sehingga mencederakan McKee. – AFP, 20 April, 2019.
Komen