PIHAK berkuasa di wilayah bergolak Barat Laut Cameroon yang penduduknya bertutur dalam bahasa Inggeris pada Jumaat berkata sejumlah 31 pejuang pemisah telah meletakkan senjata mereka dan memulakan proses pengintegrasian semula ke dalam masyarakat, lapor agensi berita Turki Anadolu.
“Mereka telah datang ke pusat pengintegrasian semula dan terdiri daripada 25 remaja lelaki dan enam remaja perempuan. Kami telah dimaklumkan bahawa tiga lagi berada di pejabat awam sementara menunggu dipindahkan ke pusat itu,” kata Sixtus Gabsa, pengarah serantau Jawatankuasa Pelucutan Senjata, Demobilisasi dan Pengintegrasian Semula Kebangsaan wilayah Barat Laut (NDDRC), semasa mesyuarat penilaian di pekan Bamenda.
Para pegawai berkata inisiatif itu menyediakan cara keluar “yang bermaruah” kepada bekas pejuang dan prospek pengintegrasian semula sosial dan sepatutnya membuka laluan ke arah keadaan kembali tenang dan normal.
“Saya menyeru setiap orang agar menggerakkan dan meminta generasi muda kita yang masih bersembunyi agar datang ke pusat pelucutan senjata. Mereka akan diterima baik, dilatih dan tidak akan berdepan tindakan perundangan,” kata Adolphe Lele Lafrique, gabenor wilayah Barat Laut.
NDDRC ditubuhkan oleh Presiden Paul Biya tahun lepas “bagi mengelak penggunaan kaedah ekstrem” dan menyelia serta menguruskaan pelucutan senjata dan pengintegrasian semula bekas pejuang Boko Haram serta kumpulan bersenjata di rantau Anglophone iaitu wilayah Barat Laut dan Barat Daya.
Pertempuran antara tentera kerajaan dan pejuang pemisah bersenjata terus memuncak di wilayah itu sejak November 2017. Golongan minoriti dalam negara yang kebanyakan rakyatnya bertutur dalam bahasa Perancis berhasrat untuk menubuhkan sebuah negara dikenali sebagai “Ambazonia.” – Bernama, 20 April, 2019.
Komen