Belum ada keputusan bayar pampasan kepada Pahang, kata menteri


Alfian Z.M. Tahir

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar ketika bercakap kepada pemberita di Taman Tugu, Kuala Lumpur hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 20 April, 2019

PUTRAJAYA masih belum memutuskan bayaran pampasan kepada Pahang bagi usaha konservasi hutan.

Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail minggu ini berkata, Pahang merancang untuk meminta pampasan RM17.1 bilion untuk negeri itu bagi kerja-kerja pemeliharaan satu juta hektar rizab hutan dan haiwan liar, yang digunakan sebagai kawasan tadahan air.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar hari ini berkata perkara itu masih belum dibincangkan di peringkat persekutuan.

“Kami masih belum putuskan untuk bayar pampasan kepada mana-mana negeri,” katanya ketika ditemui selepas sambutan Hari Bumi yang diadakan di Taman Tugu, Kuala Lumpur hari ini.

“Setiap negeri mahukan pampasan. Sama ada kita mampu untuk berikan mereka pampasan itu adalah isu lain.”

Ditanya berhubung kawasan tadahan air, Xavier berkata semua kawasan tadahan air perlu dipelihara dan diwartakan.

Beliau berkata, adalah tanggungjawab setiap kerajaan negeri untuk melindungi kawasan tadahan air termasuk membangunkan zon penampan terhadap pembangunan atau pertanian.

“Setakat yang kami maklum, semua kawasan tadahan air perlu dilindungi dan diwartakan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

“Tiada siapa yang boleh memasuki kawasan tadahan air dan perlu ada penampan antara kawasan tadahan dan hutan,” tambahnya.

Bulan lalu, ketua pegawai eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Jaseni Maidin memberitahu pemberita bahawa Kedah, Pulau Pinang dan Perlis perlu diberi pampasan bagi konservasi kawasan tadahan air berkenaan, yang dikelilingi oleh hutan berkeluasan 163,103 hektar.

Kira-kira 70% sumber air mentah Perlis, Kedah (96%) dan Pulau Pinang (80%) berasal daripada Ulu Muda, menurut laporan The Star. – 20 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen