ECRL pacu ekonomi jangka panjang, kata pakar


Ragananthini Vethasalam

Pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diteruskan dengan laluan dipendekkan 40 kilometer sekaligus menurunkan kosnya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 April, 2019

KEPUTUSAN untuk meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan menyebabkan rangsangan ekonomi jangka panjang, walaupun terdapat kebimbangan harganya yang tinggi akan memberi kesan kepada kunci kira-kira kerajaan, kata pakar ekonomi.

Jumaat lalu, Putrajaya menamatkan spekulasi dan ketidakpastian apabila mengumumkan projek yang disokong China itu aka diteruskan, walaupun dengan laluan dipendekkan 40 kilometer dan menurunkan kosnya.

Bagiamanapun, kos baharu bagi Fasa 1 dan 2 ECRL pada RM44 bilion – turun sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion  – masih menimbulkan kebimbangan sama ada ia akan memberi kesan terhadap kedudukan fiskal negara yang akan menjadi semakin lemah.

Profesor Dr Yeah Kim Leng dari Sunway University Business School Economics mengakui beban hutang akan meningkat dengan perjanjian baharu, kos rendah dengan tempoh pinjaman lebih panjang akan menjadikan projek berkenaan lebih berpatutan.

“Metrik keterjaminan utama adalah sejauh mana kemajuan pembangunan projek menjana pertumbuhan ekonomi yang seterusnya, meningkatkan penjanaan pendapatan kerajaan dan keupayaan pembayaran balik,” katanya.

Yeah berkata yang lebih penting lagi, kesan segera dari pembinaan semula ECRL adalah ia akan memberi laluan bagi kenaikan perbelanjaan awam untuk berbilion setahun, selaras dengan kemajuan projek.

“Penerima manfaat adalah sektor pembinaan dan industri yang berkaitan aktiviti pembinaan. Pemilik tanah yang diambil oleh kerajaan untuk projek berkenaan sebaliknya akan menerima faedah kewangan daripada pampasan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sementara itu, pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi Lee Heng Guie berkata, perjanjian baharu menetapkan bahawa perlu ada 40% penyertaan daripada firma tempatan untuk kerja-kerja sivil, berbanding hanya 30% di bawah kontrak terdahulu, projek itu akan menyaksikan peningkatan peluang pekerjaan.

Lee berkata, hutang akan berada di bawah jaminan kerajaan, oleh itu, ia tidak mungkin mempunyai kesan langsung ke atas kunci kira-kira.

Beliau juga berkata perbelanjaan itu akan diagihkan berdasarkan tempoh projek yang dijangka akan siap pada Disember 2026.

Menurut pemilik projek berkenaan, Malaysia Rail Link Sdn Bhd, kira-kira 85% daripada pembiayaan projek berkenaan datang daripada Exim Bank China manakala bakinya 15% adalah dari sumber tempatan.

Yeah dari Sunway University berkata, pengurangan dalam jumlah kos yang besar menjadikan projek itu lebih murah dan bertambah baik dengan daya maju sosioekonomi.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa komitmen kewangan untuk projek itu boleh membataskan perbelanjaan fiskal di bidang lain terutama di projek infrastruktur mega seperti Kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang ditunda dengan Singapura.

Yeah berkata kerajaan mampu mecapai fiskalnya dengan menyasarkan perbelanjaan yang lebih efektif, mempelbagaikan dan memperluaskan sumber pendapatan dan melupuskan aset bukan strategik.

Dalam pada itu, Lee berkata, beliau menjangka kerajaan meneruskan corak perbelanjaannya tetapi akan lebih berhati-hati dari segi kos dan keperluan.

Tambahnya, peruntukan perbelanjaan untuk pembangunan sebanyak RM54.7 bilion di bawah Belanjawan 2019, walapun lebih rendah berbanding tahun sebelumnya, ia masih dianggap lebih tinggi berbanding keseluruhan kesihatan kewangan kerajaan.

“Kerajaan akan terus berbelanja dan mereka akan pastikan aspek kos terkawal, bagi memastikan ia berbaloi dan kosnya tidak dinaikkan.

“Ini masih menjadi prinsip panduan,” katanya. – 21 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen