BEKAS presiden Peru Alan Garcia menafikan tuduhan rasuah terhadapnya dalam satu nota bunuh diri yang dijadikan latar pada hari pengebumiannya, dua hari selepas beliau menembak diri sendiri.
Alan bertindak membunuh diri ketika polis tiba di kediamannya untuk menahan bekas pemimpin itu berhubung tuduhan rasuah berkaitan skandal Odebrecht.
Skandal itu, yang mencemarkan integriti ahli politik di seluruh Amerika Latin, turut melibatkan seorang lagi bekas pemimpin Peru, Pedro Pablo Kuczynski, 80, yang dijatuhi hukuman penjara tiga tahun atas tuduhan pengubahan wang haram melibatkan skandal itu.
“Saya melihat pemimpin digari dan hidup dalam keadaan yang teruk, namun Alan Garcia tidak akan menderita dengan ketidakadilan ini,” kata mendiang bekas presiden berusia 69 tahun itu dalam nota yang ditinggalkan kepada enam orang anaknya.
Nota berkenaan dibacakan oleh anak perempuannya Luciana, pada upacara pengebumian.
Alan Garcia (1985-90, 2006-11) dan Kuczynski (2016-2018) merupakan dua daripada empat bekas presiden Peru yang terlibat dengan pelbagai skandal rasuah.
Beliau memiliki karier politik kontroversi yang panjang yang mana beliau dilihat terlalu obses dengan legasinya.
“Saya serahkan kepada anak-anak saya tentang maruah keutusan saya, kepada rakan seperjuangan sebagai petanda kebanggaan dan mayat saya sebagai tanda penghinaan saya kepada musuh kerana saya sudah pun memenuhi misi yang diberikan kepada saya,” tulis Alan.
Beliau mendakwa, pihak berkuasa menggunakan siasatan rasuah sebagai alat untuk “memalukan, gangguan dan tidak mencari kebenaran,” dan menulis: “Orang lain sanggup menjual diri, tetapi saya tidak.”
Dalam nota bunuh dirinya itu, Alan meletakkan dirinya sebagai “mangsa, menyalahkan musuh politiknya atas apa yang dihadapi, kemudian mengorbankan diri untuk kepentingan partinya,” kata pakar sejarah Juan Luis Orrego dalam satu wawancara radio RPP. – 20 April, 2019
Komen