PASANGAN suami isteri dari California dipenjara sekurang-kurangnya 25 tahun pada Jumaat selepas mengaku bersalah mengurung dan menyeksa 12 daripada 13 anak mereka dalam kes mengejutkan dunia.
David Allen Turpin, 57, dan isterinya, Louise Anna Turpin, 50, mengaku bersalah terhadap 14 pertuduhan jenayah termasuk kekejaman, mengurung secara salah, penderaan dan penyeksaan anak-anak mereka berusia tiga hingga 30 tahun.
Dalam pendengaran yang menyentuh emosi, beberapa anaknya mengakui masih menyayangi ibu bapa mereka yang berasal dari Perris, di Riverside County, Los Angeles.
“Saya tidak pernah berniat memudaratkan anak-anak saya,” kata David Turpin kepada mahkamah di bandar Riverside.
Kes ini berlaku tahun lalu apabila seorang daripada anaknya melarikan diri melalui tingkap dari rumah pasangan itu dan menghubungi perkhidmatan kecemasan.
Menurut rakaman panggilan yang didedahkan semasa prosiding mahkamah, beliau memberitahu dua daripada adik-beradiknya dirantai di katil dengan ketat sehingga lebam dan berdepan kesukaran untuk memberitahu alamat rumah.
“Saya tidak pernah keluar. Saya tidak selalu keluar,” kata remaja itu semasa membuat panggilan itu.
Beliau memberitahu pegawai yang menerima panggilan bahawa rumah mereka begitu kotor tidak dapat bernafas dan beliau serta adik-beradiknya tidak mandi.
“Mereka merantai kami jika melakukan perkara tidak sepatutnya,” katanya.
“Kadang-kala, adik beradik perempuan saya bangun dan mula menangis (kerana kesakitan).”
Seorang pegawai yang menemubual remaja selepas melarikan diri berkata beliau sangat kurus sehingga menyangka sebagai kanak-kanak.
Katanya, gadis itu menceritakan rutin mereka terpaksa tidur 20 jam sehari dan pada tengah malam hidangan tengahari dan makan malam yang digabungkan sekali yang selalunya terdiri daripada sandwic kacang, kerepek dan makanan dipanaskan dengan ketuhar gelombang mikro.
Salah seorang anak lebih tua juga memberitahu penyiasat ibu bapa mereka akan mengunci mereka dalam sangkar sebagai hukuman dan memukulnya.
Sejak diselamatkan, anak pasangan itu berada di bawah penjagaan perkhidmatan perlindungan kanak-kanak dan dewasa.
Turpins berpindah dari Texas ke California pada 2010.
Penyiasat berkata ia tidak jelas apa yang mendorong tindakan itu.
Di bawah undang-undang California, kedua-duanya layak memperoleh parol dalam tempoh 25 tahun kerana faktor usia mereka. – AFP, 20 April, 2019.
Komen