KEPUTUSAN kerajaan meneruskan semula projek Bandar Malaysia akan memberi impak positif kepada ekonomi negara terutama bagi sektor pembinaan, kata penganalisis.
Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosioekonomi Lee Heng Guie memberitahu The Malaysian Insight penerusan semula projek itu akan menjana aktiviti ekonomi dan merangsang pelaburan dalam jangka sederhana.
Beliau berkata sektor pembinaan yang mempunyai “hubung kait” dengan 140 sektor bersedia untuk menyaksikan peningkatan.
“Ini, ditambah dengan sambungan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), akan menampan ekonomi domestik daripada kesan langsung tekanan ekonomi luar dalam persekitaran global yang tidak stabil,” katanya.
Lee berkata kerajaan juga boleh membangunkan Bandar Malaysia sebagai hab serantau untuk teknologi dan syarikat Fortune 500.
Profesor ekonomi daripada Jabatan Perniagaan, Universiti Sunway Dr Yeah Kim Leng berkata projek Bandar Malaysia akan meningkatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) jika ia dapat menarik pelaburan langsung asing.
Ini juga akan mengembalikan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negara di bawah kerajaan Pakatan Harapan.
Bagi Dr Shankaran Nambiar, felo penyelidikan kanan di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, sambungan semula projek mempunyai persamaan dengan semakan dan sambungan semula ECRL.
“Terdapat keperluan bagi merangsang ekonomi Malaysia, dan memandangkan persekitaran global yang suram, pastinya sudah difikirkan ia berfaedah untuk mengkajinya semula (projek Bandar Malaysia),” kata beliau.
“Ini akan menjadi rangsangan yang berguna kepada ekonomi, peluang pekerjaan akan diwujudkan dan tahap pertumbuhan berterusan. Saya yakin projek itu akan disesuaikan untuk membolehkan lebih banyak penyertaan Bumiputera (kontraktor) dan memberi ruangmencukupi bagi agenda negara, yang akan termasuk pemindahan teknologi dan penciptaan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.” – 20 April, 2019.
Berita penuh di sini
Komen