KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) mesti memandang serius Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan tidak menyekat perkembangannya seperti yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini, kata Razali Ismail.
Bekas pengerusi Suhakam itu memberitahu The Malaysia Insight, kerajaan tidak patut melihat Suhakam sebagai perkakas perhiasan sahaja.
“Suruhanjaya ini tidak berkembang kerana kerajaan sebelum ini menjadikannya begitu.
“Idea kebertanggungjawaban begitu asing semasa era (bekas perdana menteri) Najib Razak. Ini mesti berubah,” katanya.
Razali letak jawatan pada 15 April lalu, dua minggu sebelum tamat tempoh jawatan tiga tahun. Beliau dijadual menamatkan tugas pada 27 April ini.
Bekas diplomat kanan itu memimpin Suhakam sejak 21 Jun 2016, menggantikan rakan diplomat yang juga bekas duta Hasmy Agam.
Razali, 80, yang memulakan kerjaya di Wisma Putra pada 1962 berkhidmat sebagai duta di beberapa negara termasuk Poland dan India, sebelum dilantik pengerusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan kemudian presiden Perhimpunan Agung PBB.
Menurut Razali, Suhakam tidak berfungsi sepenuhnya kerana ia tidak diharapkan berbuat apa-apa untuk kerajaan.
“Ia boleh buat kenyataan demi kenyataan yang menunjukkan ia profesional dan kerajaan membenarkannya dan menunjukkan mereka juga sehaluan.
“Kerajaan sebelum ini (Barisan Nasional) mahu menunjukkan kita ada kemajuan tetapi tidak banyak yang dilakukan dari segi hak asasi manusia seperti dalam isu Orang Asli dan lain-lain.”
Razali berkata, pada mulanya tidak banyak kerjasama daripada pihak berkuasa tetapi dari tahun ke tahun keadaan semakin bertambah baik.
“Suhakam sudah melakukan yang terbaik dan dapat perhatian rakyat. Ia siap untuk melakukan lebih daripada itu. Tetapi keadaan mesti berubah.”

Razali juga menjelaskan beliau bukan meletakkan jawatan dalam Suhakam kerana dapatan siasatan awamnya yang merumuskan polis Cawangan Khas dari Bukit Aman menculik Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat.
“Tidak. Saya letak jawatan kerana saya tidak mahu buat kerja advokasi lagi.
“Saya mahu fokus pada perkara lain dan saya juga terlibat dalam beberapa hal lain,” katanya.
Mengenai desakan agar Suhakam diberi lebih kuasa eksekutif, Razali berkata suruhanjaya itu hanyalah sebuah badan penasihat.
“Kalau Suhakam mahu kuasa maka ia sepatutnya berada dalam kerajaan. Ia sepatutnya berusaha untuk jadi lebih berkesan.
“Suhakam harus fokus bagaimana nasihat-nasihatnya boleh mengubah keadaan walaupun tanpa kuasa eksekutif.
“Suhakam perlu belajar bersabar dan bukannya jadi populis,” katanya. – 20 April, 2019.
Komen