Dedah laporan aktivis hilang untuk pancing reaksi, kata bekas ketua Suhakam


Noel Achariam

Bekas pengerusi Suhakam, Razali Ismail berkata suruhanjaya itu mengambil langkah yang betul apabila mendedahkan laporan siasatan awamnya kepada umum. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 20 April, 2019.

SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mahu memancing reaksi masyarakat dan pihak berkuasa ketika ia mendedahkan laporan siasatan mengenai kehilangan dua aktivis, kata bekas pengerusinya Razali Ismail.

Dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, beliau berkata pendedahan laporan siasatan awam itu adalah usaha akhir untuk mendapatkan jawapan tentang kehilangan Pastor Raymond Koh dan Pengasas Perlis Hope, Amri Che Mat.

“Kalau kami berikan laporan siasatan itu kepada dahulu sebelum diumumkan kepada orang ramai, mereka mungkin menghalangnya.

“Mereka mungkin akan meminta ia dipinda dan ia tidak akan jadi laporan yang benar,” katanya beberapa selepas letak jawatan dari suruhanjaya itu.

Razali letak jawatan pada 15 April lalu, dua minggu sebelum tamat tempoh jawatan tiga tahun. Beliau dijadual menamatkan tugas pada 27 April ini.

Pada 3 April, selepas siasatan awam selama 18 bulan, Suhakam merumuskan bahawa pasukan Cawangan Khas dari Bukit Aman menculik dua aktivis itu.

Panel siasatan membuat rumusan itu berdasarkan bukti langsung dan keterangan ikut keadaan, serta selepas menimbangkan semua bukti secara menyeluruh.

Sejurus pendedahan laporan itu, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata Suhakam tidak patut mendedahkan laporan siasatannya kepada umum, sebaliknya menyerahkannya terlebih dahulu kepada polis, Kementerian Dalam Negeri dan pihak berkuasa yang berkenaan.

Bagaimanapun Razali berkata Suhakam mengambil langkah yang betul apabila mendedahkan laporannya kepada umum.

“Polis tidak akan melaksanakan tanggungjawab mereka kepada rakyat.

“Tetapi Suhakam sudah tidak akan melakukannya (menyerahkan laporan terlebih dahulu kepada polis). Itu pendirian yang diambil oleh suruhanjaya.”

Beliau juga berminat mahu melihat bagaimana ahli-ahli Parlimen memberi reaksi terhadap laporan siasatan itu.

Isteri Amri Che Mat, Norhayati Ariffin (kanan) ditenangkan oleh isteri Pastor Raymond Koh, Susanna Liew ketika mendengar laporan siasatan kehilangan suami masing-masing pada 3 April. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 April, 2019

“Saya berminat menunggu apa mereka hendak buat.

“Laporan itu ada kesannya pada pihak polis jadi kita perlu lihat apa kata ahli-ahli Parlimen dan reaksi mereka terhadapnya,” tambahnya.

Menurut Razali, rakyat dan Parlimen perlu berusaha memberi tekanan kepada polis untuk bertindak.

“Suhakam boleh beri laporan itu kepada berapa agensi pun tetapi mesti ada pengumuman daripada pihak eksekutif, jika tidak, tiada apa yang akan berlaku,” katanya.

Mengenai kerjasama polis sepanjang siasatan, Razali berkata beliau setuju dengan dapatan laporan itu bahawa polis tidak memberikan kerjasama penuh sewajarnya.

“Sudah tentu polis akan kata mereka sudah beri kerjasama. Kalau saya ketua polis pun saya akan kata kami sudah beri kerjasama tetapi itu tergantung kerjasama bagaimana yang diberikan.”

Siasatan itu diadakan bagi menentukan sama ada Amri, Koh dan dua yang lain – pastor Joshua Hilmy dan isteri, Ruth – adalah mangsa hilang paksa.

Undang-undang hak asasi manusia antarabangsa mendefinisikan hilang paksa sebagai keadaan apabila seseorang diculik secara rahsia atau dipenjara oleh kerajaan atau badan politik, atau oleh pihak ketiga yang mempunya kuasa, sokongan atau persetujuan negara atau badan politik. – 20 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen