AHLI Parlimen perlu membahaskan laporan tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada sidang seterusnya supaya kebimbangan hak asasi manusia dapat ditangani dengan berkesan, kata Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph.
Pengerusi Suhakam mahu Menteri Undang-Undang V K Liew membawa laporan itu untuk dibahaskan.
“Laporan kami tidak pernah dibahaskan sebelum ini.
“Ia juga bagi membolehkan ahli Parlimen kita mengambil bahagian dalam isu-isu berkaitan dengan hak asasi manusia. Saya yakin ahli Parlimen juga akan menimbulkan isu di kawasan mereka.
“Kami bersedia menyediakan apa sahaja jawapan diperlukan oleh Liew untuk perdebatan,” katanya selepas pelancaran laporan tahunan Suhakam hari ini.
Laporan itu telah diserahkan kepada ahli Parlimen dan dibentangkan pada 11 April, hari terakhir sidang Parlimen pertama.
Manifesto pilihan raya Pakatan Harapan menyatakan bahawa laporan tahunan Suhakam akan dibahaskan di Parlimen supaya cadangan itu mendapat perhatian yang sesuai.
Joseph berkata laporan itu perlu dibahaskan kerana Akta Suhakam menyatakan badan itu bertanggungjawab kepada Parlimen.
“Pembentangan dan perbahasan perlu dilakukan serentak.
“Sejak bertahun lamanya, laporan itu dibentangkan tetapi tidak dibahaskan.
“Tidak ada keutamaan apa yang perlu dibahaskan dahulu. Semua dalam laporan perlu dibahaskan,” katanya.
Pesuruhajaya Suhakam Lok Yin Pheng berkata beliau hadir di mesyuarat Jawatankuasa Pemilihn Parlimen dan semua wakil rakyat yang hadir turut menyokong cadangan laporan itu dibahaskan.
“Kami diberitahu untuk menghantar kepada Liew yang akan membawakan usul itu. Kami harap akan ada peluang pada sidang akan datang,” katanya.
Lol juga berkata mereka menghantar surat rasmi kepada Liew supaya laporan itu dibahaskan, tetapi kerana kekangan masa ia tidak dapat dilakukan kerana ia dibentangkan pada 11 April
“Jika mereka bahaskan laporan, kami perlu sediakan jawapan.
“Tetapi, ia dibentangkan baru-baru ini jadi tidak ada masa.
“Kami yakin ia akan dibahaskan pada masa akan datang.” – 19 April, 2019.
Komen