Malaysia mahu tukar minyak sawit dengan senjata Rusia


Chan Kok Leong

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu akan melakukan lawatan kerja empat hari ke Rusia sebelum ke Iran. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 19 April, 2019.

MALAYSIA akan mencadangkan perjanjian senjata api-untuk-minyak sawit kepada Rusia, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hari ini menjelang lawatan kerjanya ke negara itu. 

Rusia adalah pengeluar senjata api kedua terbesar dunia.

“Kami akan membangkitkan sistem ‘perdagangan barter’ dengan mereka. Sudah ada negara yang bersedia bekerjasama dengan kita tentang sistem ini. Jika ia berlaku, permintaan minyak sawit dan harganya akan naik,” katanya dalam satu wawancara di kementeriannya hari ini.

Mohamad akan memulakan lawatan rasmi ke Moscow hari ini. Beliau berada di sana selama empat hari sebelum ke Iran.

Di Rusia, beliau akan bertemu rakan sejawatnya, Sergey Shoygu sebelum menghadiri majlis di Moscow.

Katanya lagi, Malaysia sedang meneroka peluang membeli senjata api dari negara seperti Rusia dan China berbanding negara Eropah, selepas kempen anti kelapa sawit digerakkan Kesatuan Eropah (EU).

Menurut Stockholm International Peace Research Institute, Rusia adalah pengeksport senjata api kedua terbesar dunia dengan nilai eksport AS$33.1 trilion (RM137 trilion) antara 2012 hingga 2016. Amerika Syarikat berada di tempat pertama dengan nilai export AS$47 trilion dan China tempat ketiga dengan nilai AS$9 trilion.

“Kita kecewa dengan Perancis, banyak pembelian dari Malaysia. Hampir semua pesawat AirAsia adalah dari AirBus dan Kementerian Pertahanan pun banyak beli dari sana,” kata Mohamad.

“Perdana Menteri (Dr Mahathir Mohamad) berkata, kalau mereka terus dengan kempen lawan minyak sawit, Malaysia akan beralih ke negara lain. Tetapi, ia masih belum muktamad,” katanya.

Mohamad berkata, perjanjian itu juga akan memberi faedah kepada pertahanan kerana kerajaan sedang mengamalkan langkah berjimat.

“Kita hanya akan beli aset baharu berdasarkan keperluan dan kemampuan kewangan kita kerana banyak duit disalurkan untuk selamatkan institusi Melayu seperti Tabung Haji dan Felda.”

Beliau merujuk kepada langkah Putrajaya untuk menyelamatkan agensi bermasalah seperti Tabung Haji dan Felda kerana salah tadbir pentadbiran terdahulu sehingga menyebabkan agensi berkenaan dibebani hutang.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019 tahun lepas, PH memotong belanjawan pertahanan sebanyak 10% kepada hanya RM13.9 bilion.

Sekiranya perjanjian ini berjaya dicapai, ia bukanlah kali pertama Malaysia membeli senjata api dan kelengkapan ketenteraan dengan Rusia.

Tentera Udara Di Raja Malaysia mempunyai 18 pesawat jenis Sukhoi Su-30MKM dan 10 buah jet tempur MiG 29, kedua-duanya buatan Rusia.

Rusia adalah pengimport minyak sawit kesebelas terbesar dunia pada 2017, dengan pegangan pasaran 2.1% yang bernilai AS$701.7 juta. – 19 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen